Pengerusi Badan Perhubungan BN Johor yang juga calon N.26 Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi berucap pada Majlis Pengumuman Calon BN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 24 JUN 2026.

JOHOR BAHRU – Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, apa yang berlaku di sebalik tabir mungkin jauh lebih menarik daripada pertandingan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sendiri.

Jika selama ini pengundi melihat PRN sebagai medan persaingan antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), realitinya beberapa perkembangan mutakhir memberi gambaran pelbagai usaha membentuk jajaran politik baharu turut berlaku di luar struktur rasmi parti.

Malah, perkembangan pada hari pengumuman calon BN sendiri seolah-olah memperlihatkan bahawa sesuatu yang lebih besar sedang berlaku di belakang tabir.

Pengumuman calon semalam yang pada asalnya dijadualkan dibuat oleh Pengerusi BN pada pukul 10.30 pagi, kemudiannya ditangguhkan kepada pukul 2.30 petang sebelum hanya diumumkan sekitar pukul 5 petang oleh Menteri Besar sementara Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Penangguhan berulang kali itu secara tidak langsung mencetuskan pelbagai persoalan mengenai proses pemuktamadan yang sedang berlangsung ketika itu.

Menurut sumber parti kepada MalaysiaGazette, antara perkara yang dibincangkan ialah kemungkinan mewujudkan satu bentuk kerjasama politik baharu membabitkan Pas dan parti diterajui Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Parti Wawasan Negara.

Difahamkan, antara cadangan yang pernah dipertimbangkan ialah membolehkan calon daripada kedua-dua parti itu bertanding menggunakan logo BN.

Berdasarkan dakwaan yang diperoleh, Parti Wawasan Negara dikatakan berpotensi diberikan empat kerusi manakala Pas pula satu kerusi.

Sebagai sebahagian daripada formula tersebut, beberapa pihak lain juga dikatakan akan dipertimbangkan untuk dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan sekiranya gabungan berkenaan berjaya membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun, idea tersebut dipercayai tidak menjadi kenyataan pada saat akhir selepas berlakunya beberapa perubahan mendadak yang turut dikaitkan dengan campur tangan pihak tertentu.

Jika benar, perkembangan itu sekali gus menimbulkan persoalan sama ada usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) dalam versi baharu akhirnya gagal direalisasikan.

Malah sehari sebelum pengumuman calon BN, Pengarah Komunikasi Strategik UMNO, Datuk Lokman Noor Adam turut membuat pendedahan sememangnya wujud perbincangan kerjasama antara UMNO dan Pas di Johor sebelum model sama dirancang untuk diperluaskan ke Negeri Sembilan.

Beliau turut mendedahkan kemungkinan calon Pas bertanding menggunakan logo BN sebagai langkah mengelakkan berulangnya episod ‘khianat’ yang pernah mencetuskan ketidakstabilan politik sebelum ini, termasuk tindakan beberapa wakil rakyat yang bertukar haluan selepas dipilih atas tiket parti tertentu.

Namun, apa yang berlaku akhirnya memberi gambaran bahawa formula tersebut tidak berjaya diterjemahkan menjadi kerjasama rasmi.

Menariknya, ketika berucap sebelum mengumumkan 56 calon BN yang akan bertanding, Onn Hafiz dilihat cuba menamatkan segala spekulasi yang berlegar sejak beberapa hari lalu apabila menegaskan BN akan kekal bertanding secara solo dan tidak akan membentuk gabungan dengan mana-mana parti politik lain sekiranya sekali lagi diberi mandat mentadbir Johor.

Kenyataan itu dilihat sebagai penutup kepada pelbagai spekulasi yang timbul sejak beberapa minggu lalu mengenai kemungkinan berlakunya penjajaran politik baharu di Johor.

Namun, apa yang lebih menarik untuk diperhatikan ialah bagaimana beberapa usaha yang dipercayai berlaku di peringkat lebih tinggi akhirnya tidak berjaya diterjemahkan menjadi kerjasama rasmi.

Perkembangan ini juga memperlihatkan satu realiti baharu dalam politik Johor apabila beberapa keputusan penting dilihat semakin dipengaruhi oleh perbincangan di peringkat nasional dan tidak lagi digerakkan sepenuhnya oleh kepimpinan negeri.

Johor kini bukan lagi sekadar sebuah negeri yang sedang melalui pilihan raya, tetapi sudah bertukar menjadi gelanggang percubaan kepada pelbagai formula politik baharu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Sekiranya formula tersebut berjaya, ia berpotensi diperluaskan ke Negeri Sembilan dan beberapa negeri lain pada masa hadapan.

Namun, apa yang berlaku kali ini menunjukkan Muafakat Nasional 2.0 dilihat gagal melepasi fasa perbincangan awal apabila usaha yang dipercayai berlangsung di belakang tabir akhirnya tidak diterjemahkan menjadi kerjasama rasmi.

Akhirnya, persoalan yang bakal dinilai pengundi Johor bukan lagi sekadar siapa yang bertanding, tetapi siapakah sebenarnya yang sedang mencatur masa depan politik negeri itu dari luar Johor sendiri. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast