Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selepas ucapan Perasmian Serentak Persidangan Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU2025) 2025 di WTCKL, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 14 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – “Saya tak mahu komen, baca sahajalah kenyataan terbaharu beliau.”

Itu reaksi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berhubung calon parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Beliau ada buat satu kenyataan yang terbaru, dan saya tak nak komenlah. Jadi you baca kenyataannya itu,” katanya lagi pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Strategik Pertahanan Negara 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Ketajaan, di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Puad hari ini mengumumkan keluar daripada UMNO serta-merta.

Beliau yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, keputusan itu dibuat kerana mendakwa UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan dan dikawal oleh istana.

“Tanpa berat hati, saya umum keluar UMNO serta-merta mulai hari ini, 25 Jun 2026. Oleh itu UMNO tidak perlu bersusah payah memecat saya. Ia juga memudahkan saya berbeza pandangan tanpa dituduh menikam parti dari belakang.

“Kini saya bebas mengkritik UMNO, satu wadah yang saya sayangi dan hormati untuk orang Melayu dan rakyat Malaysia,” kata Mohd Puad dalam kenyataan di Facebook.

Pengundurannya daripada UMNO dibuat sehari selepas beliau memberi bayangan mengenai satu pengumuman besar yang akan dibuat pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Mohd Puad berkata, ada yang akan menuduh beliau keluar UMNO kerana kepentingan diri.

“Buat apa saya keluar ketika UMNO dilihat kuat sehingga mahu berlawan solo di 56 kerusi. Saya tinggalkan UMNO di saat KJ (Khairy Jamaluddin), Hishammuddin (Datuk Seri Hishammuddin Hussein), Noh Omar (Tan Sri Noh Omar) kembali masuk UMNO bila melihat parti tambah kuat. Maka siapa yang ada kepentingan? Mereka atau saya?

“Alasan utama saya keluar UMNO ialah, UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan. UMNO Johor dikawal oleh istana dalam membuat keputusan,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Mohd Puad turut mendakwa satu bukti jelas ialah Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sendiri membuat pengakuan kepadanya semasa pertemuan di Saujana, Ahad lalu. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast