Buku resepi 'Sedap Do'oh' yang diasaskan oleh Prof. Dato’ Chef Zamzani Abdul Wahab

KUALA LUMPUR – Usaha memelihara khazanah kulinari Terengganu diperkukuhkan menerusi pelancaran buku Sedap Do’oh: Menjejaki Resipi Warisan Terengganu yang menghimpunkan pelbagai resipi tradisional negeri itu untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Buku berkenaan dilancarkan oleh Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin dalam satu majlis yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Diterbitkan oleh RichTalents International College (RTiC), buku itu merupakan hasil hampir tiga tahun penyelidikan, dokumentasi, pembangunan resipi, fotografi makanan dan pengumpulan data yang melibatkan pensyarah, pelajar serta pakar kulinari tempatan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif RTiC, Prof. Datuk Chef Zamzani Abdul Wahab berkata, buku tersebut bukan sekadar sebuah buku masakan, sebaliknya dokumentasi budaya yang merakam sejarah, identiti dan cara hidup masyarakat Terengganu yang diwarisi turun-temurun.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif RTiC, Prof. Datuk Chef Zamzani Abdul Wahab berucap dalam majlis pelancaran buku resepi ‘Sedap Do’oh’ di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

“Warisan tidak hanya terletak pada bangunan bersejarah, manuskrip lama atau seni persembahan. Makanan juga adalah warisan budaya yang sangat penting kerana ia menceritakan sejarah, nilai dan identiti sesuatu bangsa.

“Apabila sesuatu resipi tradisional hilang, kita sebenarnya kehilangan sebahagian daripada sejarah kita sendiri,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran itu.

Menurut beliau, buku berkenaan turut mengetengahkan pelbagai hidangan dan kuih tradisional yang semakin sukar ditemui termasuk Kueh Keang, Tonyoh Ubi, Nekbat, Qasidah, Urat Jati, Ba’it dan Nasi Telur yang semakin kurang dikenali oleh generasi muda.

Katanya, keadaan itu membimbangkan kerana semakin ramai anak muda tidak mengenali makanan tradisional negeri sendiri, sekali gus menjadikan usaha pendokumentasian warisan kulinari sebagai satu keperluan yang tidak boleh ditangguhkan.

Dalam pada itu, beliau berkata, penerbitan buku tersebut turut menjadi platform pembelajaran kepada pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kulinari RTiC yang terlibat secara langsung dalam penyediaan hidangan, fotografi makanan dan penyelidikan sepanjang proses pembikinannya.

“Bagi kami, kejayaan sebenar bukan sekadar menghasilkan sebuah buku, tetapi memastikan ilmu dan kemahiran warisan ini dapat dipindahkan kepada generasi pelapis yang akan meneruskan legasi kulinari negara,” ujarnya.

Buku Sedap Do’oh: Menjejaki Resipi Warisan Terengganu diterbitkan dalam format paperback dan dijual pada harga RM120 senaskhah.

Ia diharap menjadi rujukan penting dalam usaha memelihara serta memartabatkan warisan gastronomi Terengganu untuk generasi masa kini dan akan datang. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast