Noraini menyampaikan Insentif MSPO kepada pekebun kecil persendirian dalam Program Pemantapan MSPO Pekebun Kecil Kelapa Sawit di Dewan Pertubuhan Peladang Kawasan Parit Sulong di Batu Pahat hari ini.

BATU PAHAT – Pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi pekebun kecil persendirian di bawah seliaan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah berjaya memberikan pensijilan kepada 162 Kluster Minyak Sawit Mampan (SPOC).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, ini melibatkan 197,933 pekebun kecil persendirian dengan keluasan tanaman kira-kira 731,000 hektar di seluruh negara.

“Di Johor sahaja, sebanyak 43 SPOC telah berjaya diberikan pensijilan MSPO melibatkan 55,194 pekebun kecil melibatkan keluasan 128,720.26 hektar.

“Dalam daerah Batu Pahat pula terdapat 15,641 pekebun kecil telah berjaya diberikan pensijilan MSPO melibatkan tanaman keluasan 29,122.54 hektar,” katanya.

Noraini berkata demikian ketika hadir dalam Program Pemantapan MSPO Pekebun Kecil Kelapa Sawit di Dewan Pertubuhan Peladang Kawasan Parit Sulong di sini hari ini.

Katanya, sehingga Jun tahun ini, 151 program Kaunter Bergerak MPOB sudah diadakan di seluruh negara melibatkan 5,874 pekebun kecil persendirian dengan 47 daripadanya dilaksanakan di Johor dengan penyertaan 2,218 pekebun.

Dalam industri sawit ujarnya, perkara asas seperti lesen, dokumen dan kualiti buah sangat penting dan dikeluarkan secara percuma oleh MPOB samada di pejabat atau secara atas talian.

Jelasnya, pekebun kecil perlu memastikan lesen menjual buah kelapa sawit sentiasa sah dan dikemas kini kerana berperanan melindungi mereka dan urusan jual beli Tandan Buah Sawit (TBS).

Ujarnya, kerajaan juga menyediakan bantuan untuk pekebun kecil yang mahu meningkatkan hasil kebun seperti bantuan Skim Insentif Pembiayaan Tanaman Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0.

“Di Johor, 1,061 permohonan telah diluluskan melibatkan keluasan 2,655.94 hektar manakala di Batu Pahat 126 permohonan dengan keluasan 364.30 hektar diberikan kelulusan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast