KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan) menolak desakan segelintir penyokong supaya bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya akur dengan keputusan parti demi mengutamakan penyatuan dalam Perikatan Nasional (PN).
Datuk Tan Lek Khang berkata, sejak beberapa hari lalu beliau menerima pelbagai pertanyaan mengenai status penyertaannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekok, termasuk cadangan beliau mengambil haluan berbeza dengan keputusan parti.
“Saya amat menghargai sokongan, keyakinan dan semangat yang ditunjukkan oleh sahabat-sahabat semua. Ia menyentuh hati saya dan seluruh pasukan yang telah bersama-sama bekerja selama ini.
“Namun, saya percaya kesetiaan kepada perjuangan perlu diutamakan berbanding kepentingan peribadi. Dalam politik, disiplin dan prinsip mesti mengatasi emosi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, perjuangan politik tidak boleh diukur semata-mata melalui pencalonan atau jawatan kerana keutamaan Wawasan ketika ini adalah memainkan peranan sebagai jambatan penyatuan dalam PN bagi memperkukuhkan kerjasama antara parti komponen.
“Seperti yang ditekankan oleh pucuk pimpinan, keutamaan Parti Wawasan Negara ketika ini adalah memainkan peranan sebagai jambatan penyatuan dalam Perikatan Nasional, demi memperkukuhkan kerjasama dan memastikan agenda perjuangan gabungan dapat terus diperkasakan.
“Saya menerima amanah tersebut dengan penuh tanggungjawab,” katanya sambil menegaskan jawatan hanyalah platform untuk berkhidmat.
“Manakala keutamaan sebenar adalah membantu rakyat, termasuk menerusi Skuad TLK yang selama ini aktif bersama masyarakat di Bekok tanpa mengira musim pilihan raya,” katanya.
Justeru, walaupun tidak bertanding pada PRN Johor kali ini, ujar beliau, komitmen terhadap masyarakat DUN Bekok tidak akan berubah dan akan terus turun padang mendengar keluhan rakyat serta menghulurkan bantuan sedaya upaya.
“Perjuangan tidak bermula dengan jawatan, dan ia juga tidak berakhir tanpa jawatan,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada semua penyokong yang terus memberikan sokongan, doa dan kepercayaan terhadapnya,” katanya lagi.
Kerusi DUN Bekok bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Pakatan Harapan (PH) menerusi calon muka baru dari DAP, M. Kanan dan Barisan Nasional (BN), Tan Chong dari MCA. – MalaysiaGazette
















