KUALA LUMPUR – Sebanyak RM3.14 juta diperuntukkan kepada 27 Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di Johor tahun ini sebagai usaha kerajaan memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum serta memastikan kemudahan rumah ibadat terus berada dalam keadaan selamat dan kondusif.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, peruntukan berjumlah RM3,142,96.66 itu disampaikan sempena Majlis Penyerahan Peruntukan Inisiatif Penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) Negeri Johor yang diadakan di Persatuan Memperbaiki Akhlak Che Luan Khor, di sini, bersempena Program Sentuhan Kasih KPKT 4.0 Tahun 2026.
Menurut beliau, dana tersebut akan dimanfaatkan bagi kerja pengubahsuaian, penyelenggaraan, pembinaan baharu serta pembaikan kecemasan rumah ibadat bukan Islam di seluruh Johor.
“Kerajaan MADANI tidak melihat pembangunan melalui lensa kaum atau agama semata-mata, sebaliknya memastikan setiap komuniti mendapat manfaat secara adil dan saksama demi memperkukuh perpaduan negara.
“Kepelbagaian yang menjadi identiti Malaysia perlu terus dipelihara dan diraikan sebagai kekuatan yang menyatukan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya perlu terus memelihara semangat toleransi serta saling menghormati selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan nilai keterangkuman, kesejahteraan dan perpaduan nasional.
Katanya, kerajaan juga akan terus memastikan hak kebebasan beragama dipelihara di samping menghormati Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sejak 2023 hingga 20 Mei lalu, Johor menerima keseluruhan peruntukan RM18.75 juta yang memberi manfaat kepada 154 rumah ibadat bukan Islam menerusi pelbagai projek penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan.
Di peringkat nasional pula, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM200 juta bagi pelaksanaan Inisiatif Penyelenggaraan RIBI sepanjang tempoh 2023 hingga 2026.
Sehingga kini, sebanyak 1,478 permohonan diterima menerusi Sistem e-RIBI dengan nilai keseluruhan melebihi RM279 juta, sekali gus mencerminkan keperluan berterusan terhadap penyelenggaraan dan penambahbaikan rumah ibadat bukan Islam di seluruh negara.
KPKT memaklumkan akan terus memantau setiap projek yang diluluskan secara profesional, cekap dan telus bagi memastikan peruntukan kerajaan disalurkan kepada organisasi yang benar-benar layak, selain memperkukuh pendekatan turun padang menerusi Program Sentuhan Kasih KPKT 4.0 demi memastikan manfaat pembangunan dirasai seluruh rakyat. – MalaysiaGazette















