KUALA LUMPUR – Keputusan tinjauan pendapat Merdeka Center yang meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin politik paling mendapat sokongan dilihat mengukuhkan hujah bahawa beliau wajar diberi peluang meneruskan pentadbiran negara untuk penggal kedua selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Menerusi tinjauan tersebut, Anwar mendahului senarai pemimpin politik negara dengan kadar sokongan sebanyak 52 peratus, manakala 42 peratus responden berpandangan Malaysia kini berada di landasan yang betul.
Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat Malaysia (SekPur), Shahbudin Embun berkata, dapatan itu membuktikan majoriti rakyat terus menyokong dasar dan pendekatan pentadbiran Anwar yang disifatkan berjaya memperkukuh perpaduan nasional serta merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
“Saya percaya rakyat makin yakin dengan prestasi Anwar selama hampir empat tahun menjadi PM kerana beliau berjaya mempertahankan keharmonian kaum di negara ini dan membawa masuk berbilion pelaburan asing, mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan prestasi ringgit yang cemerlang.
“Justeru, dengan rekod pentadbiran yang cemerlang sejak 2022, Anwar layak untuk dipertimbangkan bagi meneruskan penggal kedua beliau sebagai PM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam tinjauan sama, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin muncul sebagai pemimpin kedua paling popular dengan kadar sokongan sebanyak 50 peratus.
Manakala bagi blok pembangkang, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperoleh sokongan 36 peratus, mengatasi Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mencatat 28 peratus.

Mengulas lanjut, Shahbudin berkata, laluan Anwar untuk memperoleh mandat bagi penggal kedua sebagai perdana menteri adalah realistik dan keyakinan itu bukan bersandarkan kesetiaan politik semata-mata, sebaliknya dipacu beberapa faktor utama termasuk kestabilan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Katanya, kerajaan pimpinan Anwar berjaya membawa negara keluar daripada ketidaktentuan politik yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu.
Selain pembaharuan ekonomi, usaha menarik pelaburan asing, disiplin fiskal dan penambahbaikan tadbir urus mula menunjukkan hasil yang boleh diukur, tambah beliau.
“Walaupun masih banyak cabaran, terdapat tanda-tanda yang jelas bahawa negara sedang bergerak ke arah yang lebih stabil. Anwar terus menikmati pengiktirafan yang ketara di pentas antarabangsa. Kepimpinan beliau telah mengukuhkan profil diplomatik Malaysia dan meningkatkan keyakinan pelabur, yang menyumbang secara positif kepada prospek jangka panjang negara.
“Sejarah telah menunjukkan penyandang yang mampu mengekalkan kestabilan ekonomi, memelihara perpaduan politik dan terus melaksanakan pembaharuan biasanya memasuki pilihan raya dari kedudukan yang kukuh,” katanya. – MalaysiaGazette
















