KEMAJUAN sistem pengangkutan telah menjadi pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi dan sosial sesebuah negara. Kenderaan membolehkan manusia bergerak dengan lebih pantas, memudahkan penghantaran barangan, menghubungkan kawasan bandar dan luar bandar serta menyokong aktiviti perdagangan dan pelancongan. Namun begitu, di sebalik pelbagai manfaat yang dinikmati, sektor pengangkutan turut menyumbang kepada pelbagai masalah alam sekitar, khususnya pencemaran udara.
Secara global, sektor pengangkutan menyumbang sekitar 15 peratus daripada pelepasan gas rumah hijau dunia. Daripada jumlah tersebut, pengangkutan jalan raya merupakan penyumbang terbesar dengan kira-kira 75 peratus pelepasan sektor pengangkutan, diikuti oleh pengangkutan udara (12 peratus) dan pengangkutan laut (11 peratus). Ini menunjukkan bahawa kereta, motosikal, bas dan lori masih menjadi sumber utama pencemaran udara serta pelepasan karbon di kebanyakan negara yang seterusnya menyumbang kepada perubahan iklim global.
Umumnya, pencemaran udara merujuk kepada kehadiran bahan-bahan asing atau bahan pencemar dalam atmosfera pada kepekatan yang boleh memudaratkan manusia dan alam sekitar. Dalam sektor pengangkutan, pencemaran udara berlaku apabila bahan api seperti petrol, diesel, minyak bahan api marin dan bahan api penerbangan dibakar untuk menghasilkan tenaga bagi menggerakkan kenderaan.
Proses pembakaran ini menghasilkan pelbagai bahan pencemar, termasuklah karbon monoksida (CO), karbon dioksida (CO₂), nitrogen oksida (NOₓ), sulfur dioksida (SO₂), hidrokarbon tidak terbakar, sebatian organik meruap (VOC) dan zarah terampai halus seperti PM₁₀ dan PM₂.₅. Semakin tinggi jumlah kenderaan dan penggunaan bahan api, semakin besar jumlah pelepasan pencemar ke atmosfera.
Pertumbuhan pesat bilangan kenderaan persendirian telah menyebabkan peningkatan penggunaan bahan api fosil secara berterusan. Di kawasan bandar utama, kesesakan lalu lintas yang berlaku setiap hari menyebabkan kenderaan bergerak perlahan atau berhenti dalam tempoh yang lama. Keadaan ini meningkatkan kadar penggunaan bahan api dan seterusnya menghasilkan lebih banyak pelepasan pencemar.
Kenderaan diesel seperti lori dan bas pula sering dikaitkan dengan penghasilan zarah halus serta nitrogen oksida yang tinggi. Zarah-zarah ini mampu memasuki sistem pernafasan manusia dan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan. Selain itu, motosikal yang menggunakan enjin lama juga boleh menghasilkan pelepasan hidrokarbon dan karbon monoksida yang tinggi jika tidak diselenggara dengan baik.
Sektor penerbangan juga turut menyumbang kepada pencemaran udara. Kapal terbang menggunakan bahan api jet yang menghasilkan pelepasan karbon dioksida, nitrogen oksida dan wap air pada altitud yang tinggi. Setiap penerbangan menggunakan jumlah bahan api yang sangat besar walaupun jumlah kapal terbang jauh lebih rendah berbanding kenderaan darat.
Pelepasan yang berlaku di atmosfera atas boleh memberi kesan kepada pembentukan awan dan keseimbangan iklim global. Pertumbuhan industri penerbangan yang pesat akibat peningkatan permintaan perjalanan domestik dan antarabangsa turut menyebabkan jumlah pelepasan gas rumah hijau daripada sektor ini meningkat.
Pengangkutan laut juga tidak terkecuali daripada menyumbang kepada pencemaran udara. Kapal dagang, kapal kontena, kapal persiaran dan feri lazimnya menggunakan minyak bahan api berat yang mengandungi kandungan sulfur yang tinggi. Pembakaran bahan api ini menghasilkan sulfur dioksida dan zarah halus yang boleh mencemarkan kawasan pelabuhan dan pesisir pantai.
Di peringkat global, sektor perkapalan memainkan peranan penting dalam perdagangan antarabangsa kerana lebih 80 peratus perdagangan dunia bergantung kepada pengangkutan laut. Oleh itu, walaupun kapal laut dianggap lebih cekap dari segi penggunaan tenaga bagi setiap tan kargo yang dibawa, jumlah pelepasan keseluruhan masih signifikan disebabkan skala operasinya yang sangat besar.
Kesan pencemaran udara akibat kenderaan terhadap kesihatan manusia amat membimbangkan. Individu yang tinggal berhampiran jalan raya utama, lapangan terbang atau pelabuhan berisiko tinggi terdedah kepada pencemar udara. Pendedahan berpanjangan kepada zarah halus PM₂.₅ boleh menyebabkan penyakit pernafasan seperti asma, bronkitis dan penyakit paru-paru obstruktif kronik.
Selain itu, pencemaran udara juga dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit kardiovaskular, strok dan kanser paru-paru. Golongan pengguna jalan raya yang rentan iaitu kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai sistem imun yang lemah merupakan golongan yang paling terdedah kepada kesan pencemaran udara. Kajian menunjukkan pendedahan kepada pencemar udara boleh menjejaskan perkembangan paru-paru kanak-kanak dan mengurangkan kualiti hidup mereka dalam jangka panjang.
Pencemaran udara turut memberi impak negatif kepada alam sekitar. Pelepasan nitrogen oksida dan sulfur dioksida boleh menyebabkan pembentukan hujan asid yang merosakkan tumbuhan, tanah dan sumber air. Hujan asid juga boleh mempercepatkan proses kakisan pada bangunan, jambatan dan struktur logam.
Di samping itu, pencemaran udara boleh mengurangkan jarak penglihatan akibat pembentukan jerebu dan kabus fotokimia. Fenomena ini sering berlaku di kawasan bandar yang mempunyai kepadatan trafik yang tinggi. Keadaan tersebut bukan sahaja menjejaskan keselesaan penduduk, malah boleh meningkatkan risiko kemalangan jalan raya dan gangguan kepada operasi pengangkutan udara.
Dari sudut perubahan iklim global, karbon dioksida yang dilepaskan oleh kenderaan merupakan salah satu gas rumah hijau utama yang memerangkap haba di atmosfera. Peningkatan kepekatan gas rumah hijau menyebabkan suhu purata bumi meningkat. Keadaan ini seterusnya mencetuskan pelbagai
fenomena cuaca ekstrem seperti banjir besar, kemarau berpanjangan, gelombang haba dan ribut yang lebih kuat. Oleh itu, usaha mengurangkan pencemaran udara daripada kenderaan bukan sahaja penting untuk meningkatkan kualiti udara tempatan, tetapi juga bagi menangani isu perubahan iklim yang memberi kesan kepada seluruh dunia.
Di Malaysia, masalah pencemaran udara akibat kenderaan semakin ketara khususnya di kawasan-kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Shah Alam. Pertumbuhan pesat ekonomi dan peningkatan taraf hidup menyebabkan pemilikan kenderaan persendirian meningkat dengan ketara. Walaupun pembangunan infrastruktur jalan raya terus dipertingkatkan, jumlah kenderaan yang semakin banyak menyebabkan kesesakan lalu lintas menjadi satu fenomena biasa.
Ini disebabkan oleh banyak kawasan atau perbandaran yang dibina sebelum ini adalah bersifat pembangunan berorientasikan kereta (sering juga disebut car-centric atau bersandarkan kenderaan persendirian) berbanding pejalan kaki atau pengangkutan awam. Selain itu, penggunaan lori berat untuk aktiviti logistik dan pengangkutan barangan turut menyumbang kepada peningkatan pelepasan pencemar. Keadaan ini memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh bagi memastikan pembangunan ekonomi dapat dicapai tanpa mengorbankan kualiti alam sekitar.
Pelbagai langkah boleh diambil untuk mengurangkan pencemaran udara yang berpunca daripada sektor pengangkutan. Salah satu langkah yang paling berkesan ialah memperkukuhkan sistem pengangkutan awam. Penyediaan perkhidmatan bas, rel transit, transit aliran massa dan sistem pengangkutan bersepadu yang cekap dapat mengurangkan kebergantungan masyarakat
terhadap kenderaan persendirian.
Apabila lebih ramai pengguna memilih pengangkutan awam, jumlah kenderaan di jalan raya akan berkurangan dan seterusnya mengurangkan pelepasan bahan pencemar. Selain itu, konsep perkongsian kenderaan dan penggunaan mod pengangkutan aktif seperti berjalan kaki dan berbasikal juga perlu digalakkan.
Penggunaan teknologi hijau dalam sektor pengangkutan turut memainkan peranan penting. Kenderaan elektrik semakin mendapat perhatian kerana tidak menghasilkan pelepasan ekzos secara langsung. Walaupun pengeluaran tenaga elektrik masih mempunyai kesan alam sekitar tertentu, penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan hidro mampu menjadikan
kenderaan elektrik lebih mesra alam.
Selain itu, pembangunan teknologi hibrid, hidrogen dan bahan api bio juga berpotensi mengurangkan pelepasan pencemar daripada sektor pengangkutan. Dalam industri penerbangan dan perkapalan, usaha sedang dilakukan untuk menghasilkan bahan api yang lebih bersih dan cekap bagi mengurangkan jejak karbon sektor tersebut.
Dari sudut penguatkuasaan, kerajaan perlu memastikan piawaian pelepasan kenderaan sentiasa dikemas kini mengikut perkembangan teknologi semasa. Pemeriksaan berkala terhadap kenderaan, khususnya kenderaan komersial dan berat, perlu diperkasakan bagi memastikan tahap pelepasan berada dalam had yang dibenarkan.
Penggunaan bahan api berkualiti tinggi dengan kandungan sulfur yang rendah juga boleh membantu mengurangkan pencemaran udara. Selain itu, dasar perancangan bandar yang menggalakkan pembangunan berorientasikan transit dapat mengurangkan keperluan perjalanan jauh dan
seterusnya mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor.
Pendidikan dan kesedaran masyarakat juga merupakan elemen penting dalam menangani isu pencemaran udara. Orang ramai perlu dididik mengenai kesan penggunaan kenderaan secara berlebihan terhadap kesihatan dan alam sekitar.
Kempen kesedaran yang berterusan boleh menggalakkan amalan seperti berkongsi kenderaan, menggunakan pengangkutan awam dan menyelenggara kenderaan secara berkala. Sikap bertanggungjawab dalam kalangan pengguna jalan raya akan membantu mengurangkan pelepasan pencemar dan meningkatkan kualiti udara secara keseluruhan.
Kesimpulannya, pencemaran udara akibat kenderaan merupakan satu cabaran besar yang perlu ditangani secara serius oleh semua pihak. Kenderaan darat, udara dan laut memainkan peranan penting dalam pembangunan moden, namun pada masa yang sama menjadi sumber utama pelepasan bahan pencemar dan gas rumah hijau. Kesan pencemaran udara bukan sahaja menjejaskan kesihatan manusia, malah memberi impak kepada alam sekitar, ekonomi dan kestabilan iklim global.
Oleh itu, usaha mengurangkan pencemaran udara memerlukan kerjasama antara kerajaan, industri dan masyarakat melalui penggunaan teknologi hijau, pengukuhan pengangkutan awam, penguatkuasaan yang berkesan serta peningkatan kesedaran awam. Hanya melalui pendekatan yang menyeluruh dan berterusan, kita dapat memastikan sistem pengangkutan yang mampan serta mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, sihat dan selamat untuk generasi masa hadapan.
Oleh: Prof. Madya Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff, Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia &
Ts. Nur Faezah Yahya, Pensyarah Kanan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
















