Calon Bebas, Wang Wee Siong selepas menyerahkan borang pada Hari Penamaan Calon bagi N.41 Puteri Wangsa sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di SMK Taman Dato Onn, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 27 JUN 2026.

JOHOR BAHRU – Calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Wang Wee Siong menawarkan pendekatan politik yang berteraskan kepercayaan rakyat dengan memberi tumpuan kepada penyelesaian isu setempat berbanding persaingan kepartian.

Peniaga berusia 49 tahun itu berkata, beliau mahu pengundi menilai calon berdasarkan keupayaan dan komitmen untuk berkhidmat kepada masyarakat, bukan semata-mata lambang parti yang diwakili.

“Saya bertanding sebagai calon bebas. Saya berharap rakyat memberi peluang dan mengundi berdasarkan kepercayaan kepada calon.

“Saya mendapat nombor dua dan menggunakan simbol kunci. Bagi saya, kunci melambangkan hak milik sendiri serta membuka pintu kepada perubahan,” katanya selepas proses penamaan calon, hari ini.

Menurut Wee Siong, antara keutamaan beliau sekiranya diberi mandat ialah menyelesaikan isu banjir yang masih membelenggu beberapa kawasan di Puteri Wangsa.

Katanya, walaupun pelbagai langkah telah diambil sebelum ini, masalah tersebut masih berulang dan memberi kesan kepada kehidupan penduduk setiap kali hujan lebat.

Selain banjir, beliau berkata, isu bekalan air juga perlu diberi perhatian serius kerana ia melibatkan keperluan asas rakyat.

“Saya mahu membawa suara penduduk Puteri Wangsa dan berusaha mendapatkan peruntukan daripada kerajaan pusat supaya masalah yang telah lama dihadapi rakyat dapat diselesaikan dengan lebih berkesan.

“Johor tidak boleh dipinggirkan. Apa yang penting ialah rakyat mendapat kemudahan asas, pembangunan dan perhatian yang sewajarnya,” ujarnya.

Calon PH, Dr Maszlee Malik (tengah) bergambar kenangan dengan calon BN, Teow Chia Ling (kanan), calon MUDA, Rashifah Aljunied (dua kanan), calon bebas, Wang Wee Siong (dua kiri) dan calon Bersama, Nicholas Paul Vincent pada Hari Penamaan Calon bagi N41 Puteri Wangsa sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di SMK Taman Dato Onn, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 27 JUN 2026.

Beliau turut berpandangan pelbagai cabaran termasuk pengangguran, banjir dan isu sosial memerlukan kerjasama semua pihak tanpa mengira fahaman politik demi kepentingan rakyat.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, Wee Siong berdepan saingan lima penjuru menentang calon Barisan Nasional, Pakatan Harapan, MUDA dan Bersama bagi merebut kerusi DUN Puteri Wangsa. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast