KUALA LUMPUR – Calon tunggal Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, Suraya Sulaiman mendapat sokongan dan bantuan jentera daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.
Ini kerana, menurut Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, parti itu tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN).
“Pejuang baik dengan semua orang, kita tidak ada masalah dengan mana-mana pihak, jadi Alhamdulillah kita mendapat sokongan dan bantuan jentera sama ada daripada Bersatu atau Pas.
“Kami juga dari dulu pun banyak berbincang, jadi hubungan baik itu diteruskan menerusi sokongan jentera parti pada PRN Johor kali ini,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.
Mukhriz ditemui ketika mengiringi Suraya majlis penamaan calon sempena PRN Johor ke-16 di Dewan Serbaguna Grisek, di sini.

Ini merupakan kali kedua Suraya cuba merebut kerusi DUN Gambir selepas tewas pada PRN Johor lalu apabila hanya memperoleh 220 undi ketika bertanding atas tiket Pejuang.
Sementara itu, Mukhriz berkata, beliau berharap pengundi DUN Gambir memberi peluang kepada Suraya untuk membawa suara dan membela nasib mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurutnya, meskipun pada PRN lalu undi yang diterima Suraya disifatkan bukan sesuatu yang positif, namun Ketua Penerangan Pejuang Johor berkenaan tidak pernah berputus asa, sebaliknya tetap turun padang menyantuni masalah penduduk sejak empat tahun lalu.
“Meskipun tewas pada PRN lalu, Suraya tidak merajuk atau membawa diri, sebaliknya terus masuk ke kawasan-kawasan dan menganjurkan pelbagai program untuk mendekati rakyat,” katanya.
Pada PRN Johor kali ini, Suraya akan berdepan persaingan tiga penjuru dengan sekali lagi bersaing dengan calon Barisan Nasional (BN) Sahrihan Jani serta calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Nor Mohd Yusof. – MalaysiaGazette
















