Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa bercakap pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Keadilan Jalan Serampang, Tebrau. Foto SADIQ SANI, 27 JUN 2026.

JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor mengesahkan kesemua 20 calonnya yang bertanding di bawah panji Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 berjaya melalui proses penamaan calon tanpa sebarang bantahan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustapha berkata, proses penamaan calon di kesemua 56 Pusat Penamaan Calon (PPC) di seluruh negeri berlangsung dengan lancar, tertib dan aman.

Menurut beliau, keadaan cuaca yang baik serta kerjasama semua pihak memastikan proses penting dalam sistem demokrasi negara itu berjalan tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

“Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kerana proses penamaan calon bagi PRN Johor Ke-16 berjalan dengan penuh lancar, tertib dan aman di kesemua 56 Pusat Penamaan Calon di seluruh negeri.

“Berkat cuaca yang mengizinkan serta suasana yang kondusif, hari yang amat penting dalam sistem demokrasi kita ini telah disempurnakan tanpa sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya pada sidang media Bilik Gerakan Utama Keadilan, di sini, hari ini.

Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa bercakap pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Keadilan Jalan Serampang, Tebrau. Foto SADIQ SANI, 27 JUN 2026.

Dr. Zaliha berkata, setakat jam 11 pagi, kesemua calon PKR telah selesai menjalani proses penamaan calon dan kini bersedia menggalas amanah bagi membawa suara serta aspirasi rakyat Johor.

“Antaranya DUN Buloh Kasap, Pemanis, Bukit Kepong, Gambir, Bukit Naning, Sungai Balang, Semerah, Sri Medan, Senggarang, Layang-Layang, Endau, Tenggaroh, Pasir Raja, Johor Lama, Tanjung Surat, Puteri Wangsa, Kempas, Bukit Batu, Pulai Sebatang dan Kukup.

“Mereka kini sedia menggalas amanah, berdiri megah sebagai benteng perjuangan demi membawa suara, aspirasi dan masa depan rakyat Johor yang lebih sejahtera,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan, petugas keselamatan serta pengamal media yang disifatkan memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran proses penamaan calon.

“Kelancaran proses tanpa bantahan mencerminkan kematangan sistem pentadbiran pilihan raya serta komitmen semua pihak yang terlibat,” katanya.

Mengulas mengenai tempoh berkempen kini bermula secara rasmi, Dr. Zaliha menyeru seluruh jentera PKR Johor, penyokong serta semua parti mematuhi segala syarat, peraturan dan undang-undang yang ditetapkan SPR.

“Semua pihak mengamalkan politik matang, sihat dan membina dengan mengelakkan sebarang naratif menyentuh sensitiviti kaum, agama atau isu yang boleh mencetuskan permusuhan.

“Saya menyeru agar seluruh gerak kerja kempen dijalankan dengan penuh bijaksana, berhemah dan mengekalkan keharmonian menjadi tunjang kedamaian Bangsa Johor,” katanya.

Dr. Zaliha turut mengajak rakyat Johor memberikan kepercayaan kepada 20 calon PKR yang disifatkan memiliki gabungan bakat, integriti dan iltizam untuk berkhidmat demi kesejahteraan negeri.

“Pilihan raya kali ini perlu dijadikan medan penyatuan fikiran dan visi demi membina masa depan Johor yang lebih gemilang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast