RENGGAM – Di sebalik momentum kempen yang sedang rancak, Abd Mutalip Abd Rahim berkongsi pengalaman peribadi yang disifatkannya sebagai agak menggerunkan apabila diuji masalah kesihatan selama lapan bulan pada tahun 2024.
Menurutnya, ketika itu, tidak ada apa yang mampu difikirkan lagi dan hanya berserah kepada Yang Maha Esa.
“Kalau saya ceritakan pengalaman saya, memang agak menggerunkan jugalah kerana sayalah yang mengalaminya. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah, semakin hari semakin pulih.
“Kalau ikut dengan kudrat kita, dengan umur kita ni pun, saya rasa, kita dah tak mampu,” luahnya kepada MalaysiaGazette.
Mengakui pada usia 56 tahun, betapa beratnya ujian fizikal yang terpaksa ditanggung sepanjang tempoh kritikal tersebut.
“Saya pernah 45 hari tak boleh makan, hanya buang air dalam tempoh tiga kali saya. Alhamdulillah semakin hari, semakin baiklah.
“Saya reda dan memahami adat resam hidup serta dugaan yang datang sebagai seorang wakil rakyat,” katanya lagi.
Ditanya apakah sakit itu ada kaitan dengan buatan orang, Abd Mutalip enggan mengulasnya.
“Agak-agak misteri sikitlah. Kita fahamlah. Kalau kita berada di satu tempat itu, bukan semua orang suka dengan kita kan? Kita juga tak boleh harapkan orang tu semua nak kena suka dengan kita.
“Jadi masing-masing ada bahagian. Hari ni kita sihat, besok mungkin tidak sihat. Kadang-kadang, yalah, benda tu sudah diletakkan oleh Allah.Ajal, umur, rezeki, jodoh kita, itu semua sudah ditentukan,” katanya.
Abd Mutalip turut memanjatkan kesyukuran kerana fasa pemulihan utamanya mula dirasai selepas pulang daripada menunaikan ibadah Haji di Tanah Suci.
“Selepasnya saya pulang daripada Mekah, bertambah baik. Berkat saya berubat, doa , Alhamdulillah. Ia memberikan saya semangat kekuatan,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai sakitnya itu.
Bukan merajuk, Bersatu jadi wadah baharu
Sementara itu, ketika ditanya mengenai penyertaan ke parti Bersatu, Abd Mutalip berkata, tidak wujud langsung rasa merajuk sebaliknya kemasukannya ke Bersatu adalah demi kelangsungan orang Melayu di Layang-Layang.
“Bersatu ini juga datangnya daripada UMNO. Pemimpin-pemimpin mereka mempunyai kredibiliti dan kekuatan dalam membawa agenda Melayu serta Islam.
“Memang ada tawaran yang datang, saya terus terang tanpa selindung apa-apa. Selepas berfikir sedalam-dalamnya, saya rasa ini wadah yang boleh saya terima untuk meneruskan khidmat,” katanya.
Jelasnya, kehadirannya dalam Pilihan Raya Negeri Johor demi memikirkan masa depan dan kebajikan pengundi di DUN Layang-Layang.
“Hasrat asal saya untuk berundur secara total daripada radar politik tempatan. Tetapi desakan dan keresahan yang disuarakan oleh pengundi Melayu tempatan selepas melihat pertembungan awal yang hanya melibatkan dua calon, membuatkan saya kembali menawarkan diri.
“Kawasan di sini hampir 60 peratus adalah pengundi Melayu. Banyak tindakan saya ini mungkin respon daripada pengundi-pengundi Melayu yang datang bertanya kepada saya, bagaimana cara nak mengundi dalam situasi dan keadaan seperti ini?
“Kita tidak rasis tetapi kita tidak mahu orang Melayu rugi di saat kita ada peluang untuk menerajui, memimpin dan membela mereka,” katanya.
Katanya lagi, dalam masa sama, bangsa lain langsung tidak kita ketepikan.
“Sepanjang saya menjadi wakil rakyat, semua kaum kita santuni mengikut kemampuan yang ada.
“Pertandingan tiga penjuru yang dihadapi ini saya lihat sebagai satu pilihan yang lebih baik dan sihat buat landskap demokrasi di N27 Layang-Layang memandangkan majoriti pengundi Melayu.
“Saya lebih banyak mendiamkan diri dan selesa bergerak secara matang, menyerahkan mandat sepenuhnya kepada kebijaksanaan para pengundi menjelang pengundian awal pada 7 hari bulan dan hari penentu pada 11 hari bulan nanti,” katanya. – MalaysiaGazette
















