Dr Maliki berhasrat mewakafkan sebahagian tanah pusaka keluarganya untuk membina sebuah pusat jagaan.

BATU PAHAT – Kesukaran keluarga menjaga warga emas dan orang kurang upaya (OKU) mendorong calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Raja, Dr Maliki berhasrat mewakafkan sebahagian tanah pusaka keluarganya untuk membina sebuah pusat jagaan.

Beliau berkata, hasrat itu sudah lama disimpan sebelum diumumkan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan kini akan dijadikan antara agenda utama dalam manifestonya untuk Parit Raja.

Menurutnya, idea itu diperkukuhkan selepas beliau mengadakan program Ziarah Kasih di Kampung Parit Jambul dan Kampung Parit Daun Darat apabila mendengar sendiri luahan penjaga serta pesakit mengenai cabaran yang mereka hadapi setiap hari.

“Saya melihat senario yang sama di kebanyakan rumah yang diziarahi apabila seorang ahli keluarga terpaksa mengorbankan kerjaya untuk menjaga ibu bapa atau ahli keluarga yang uzur demi memastikan ahli keluarga lain dapat terus bekerja bagi menyara kehidupan.

“Keadaan ini bukan sahaja memberi tekanan kepada penjaga, malah memberi kesan kepada pendapatan dan kesejahteraan seluruh keluarga,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Maliki bercadang mewakafkan sebahagian tanah pusaka keluarganya di Kampung Parit Betong, yang terletak dalam DUN Parit Yaani bagi membina pusat jagaan warga emas dan OKU serta menyediakan pelbagai perkhidmatan sokongan kepada masyarakat setempat.

Menurutnya, antara cabaran yang sering dikongsikan penjaga ialah kesukaran membawa pesakit keluar masuk rumah, terutama kediaman mempunyai tangga tinggi sebelum dipindahkan ke dalam kenderaan untuk mendapatkan rawatan.

“Proses itu memerlukan peralatan khas bagi memudahkan pemindahan pesakit selain mengurangkan beban fizikal yang ditanggung penjaga.

“Malangnya, tidak semua keluarga mempunyai kemampuan untuk mendapatkan peralatan tersebut walaupun ia amat diperlukan,” ujarnya.

Beliau berkata, pusat jagaan yang dicadangkan bukan sahaja akan memberi perlindungan kepada warga emas dan OKU, malah berfungsi sebagai pusat sokongan kepada keluarga yang memerlukan bantuan penjagaan, peralatan serta khidmat berkaitan.

Sehubungan itu, Dr Maliki berkata, beliau komited menjadikan pembangunan kemudahan penjagaan warga emas dan OKU sebagai antara fokus utama sekiranya diberi mandat mewakili rakyat Parit Raja.

“Golongan penjaga juga memerlukan sokongan. Saya berharap inisiatif ini dapat meringankan beban mereka serta memastikan warga emas dan OKU menerima penjagaan yang lebih baik dan teratur,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast