Pemain Selangor FC, Alvin Mateus Fortes mengasak pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman pada perlawanan Liga Super 2024-2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Foto AIZAT ZAINAL, 27 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Pemain sayap dari Cape Verde, Alvin Fortes secara rasmi berpisah dengan Selangor FC bagi kempen Liga Malaysia 2026/27 selepas dua musim bersama Red Giants.

Selangor berkata, kehadiran Fortes dalam pasukan banyak membantu mereka terutama di bahagian serangan apabila dia berjaya menjaringkan 33 gol dan mencipta 17 bantuan gol daripada 79 penampilan dalam semua pertandingan yang disertai.

“Sejak awal, Fortes menjadi antara pilihan utama dalam jentera serangan serta salah satu sumber gol dan kreativiti paling konsisten pasukan.

“Dia turut mencipta rekod tersendiri pada musim 2024/25 apabila menjadi satu-satunya pemain dalam skuad yang menjaringkan gol dalam kesemua lima kejohanan utama iaitu Liga Super Malaysia, Piala FA, Piala Malaysia, Piala Cabaran dan Liga Juara-Juara Asia II (ACL II), sekali gus membuktikan tahap konsistensi serta impaknya di pelbagai pentas.

“Malah, dia membantu pasukan mara ke pentas akhir Piala FA serta memainkan peranan dalam kejayaan menjuarai Piala Cabaran,” menurut kenyataan rasmi kelab itu di sini hari ini.

Fortes yang berusia 32 tahun itu terus membuktikan dirinya sememangnya antara tonggak penting pasukan apabila membantu Selangor FC menamatkan saingan di kedudukan kedua Liga Super selama dua musim berturut-turut, sekali gus layak beraksi dalam ACL II (2024/25 dan 2025/26) serta Piala Shopee (2025/26).

 

Di pentas antarabangsa, dia kembali dipanggil menyertai skuad kebangsaan Cape Verde pada 2025 bagi beberapa perlawanan persahabatan, sekali gus menandakan kepulangannya ke peringkat antarabangsa selepas kali terakhir mewakili negara itu pada 2018.

Prestasinya bersama Selangor FC menjadi antara faktor utama yang membuka semula pintu ke skuad kebangsaan.

“Fortes akan dikenang sebagai pemain yang sentiasa memberi ancaman di bahagian sayap, membawa keceriaan kepada penyokong menerusi jaringan, bantuan gol serta gaya permainan menyerang yang menghiburkan.

“Aksinya di atas padang menjadikannya antara senjata serangan paling berbahaya Selangor FC sepanjang bersama kelab,” kata kelab itu.

Dalam perkembangan sama, selain Fortes, Selangor FC turut mengumumkan perpisahan bersama 11 pemain dan dengan keputusan itu, masing-masing akan membawa haluan berbeza selepas ini.

Antara pemain yang tidak lagi bersama Red Giants adalah Mamadou Diarra, Samuel Somerville, Mohammad Abualnadi, Fazly Mazlan, Kim Ji-ho, Jeon Seung-min, Harry Danish, Mahame Siby, Raimi Shamsul, Picha Autra dan Omid Musawi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast