BUKIT GAMBIR – Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyangkal dakwaan parti itu semakin tidak relevan dan terpinggir dalam arus politik perdana.
Sebaliknya, beliau menyifatkan Pejuang kini di peringkat sedang ‘menanam benih’ dan akan tumbuh serta membesar pada masa depan.
Malah, ujarnya, Pejuang juga mempunyai wawasan tersendiri dan salah satunya adalah untuk menjadi sebuah parti penting serta dominan dalam arena politik negara.
“Kita tidak gelojoh, sebab kita pernah gelojoh dulu dan kini kita belajar daripada pengalaman itu.
“Kita juga tidak melatah dan terima apa jua kritikan daripada semua pihak, tidak mengapa, kita anggap kritikan itu sebagai perkara yang mendorong untuk kita terus ke depan.
“Insya-Allah kita akan buktikan Pejuang ini tetap relevan,” katanya.
Beliau ditemui MalaysiaGazette ketika mengiringi satu-satunya calon Pejuang yang akan bertanding merebut Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di sini, semalam.
Sementara itu, Mukhriz berkata, Pejuang sentiasa meletakkan parti tersebut pada posisi sedikit kanan daripada tengah, iaitu dengan pendekatan progresif tetapi moderate.
Jelasnya, meskipun pada asasnya Pejuang merupakan parti Melayu, namun parti itu tidak mempunyai masalah atau halangan dari segi kerjasama dengan parti-parti campuran serta masyarakat bukan Melayu.
“Kami juga adalah penggerak utama dalam payung besar orang Melayu, tetapi kerjasama yang kami pupuk dengan parti-parti bukan Melayu itu pun memang banyak,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mukhriz turut melahirkan rasa gembira kerana Pejuang akhirnya diterima sebagai parti komponen Perikatan Nasional (PN) selepas dua kali memohon menyertai gabungan parti tersebut.
Ujarnya, kegembiraan itu berganda apabila Pejuang diterima menjelang PRN Johor ke-16, sekali gus membolehkan parti itu bertanding menggunakan logo PN.
“Kita memang ada pilihan untuk menggunakan lambang sendiri, tetapi apabila mendapat kebenaran menggunakan logo PN, jadi peluang seperti ini memang kita tak lepaskan,” katanya.
Pada PRN Johor kali ini, Suraya sekali lagi mencuba nasib merebut kerusi DUN Gambir selepas gagal pada PRN lalu apabila hanya mendapat 220 undi ketika bertanding menggunakan logo Pejuang.
Ketika itu, Suraya tewas dalam persaingan empat penjuru kepada calon Barisan Nasional (BN), Sahrihan Jani yang mendapat 7,960 undi; calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Na’im Jusri (4,509 undi) dan Mohd Solihan Badri (PN-4,814 undi). – MalaysiaGazette
















