KUALA LUMPUR – Peletakan jawatan Mohammed Iqbal Ali sebagai Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA) dibuat secara sukarela tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak, sekali gus menafikan dakwaan berlaku rampasan kuasa dalam badan induk sukan itu.
Seorang pemimpin MCA memaklumkan, pihaknya memiliki rakaman video pengumuman peletakan jawatan berkenaan sebagai bukti keputusan tersebut dibuat atas kehendak Mohammed Iqbal sendiri.
“Mohammed Iqbal meletakkan jawatan atas kehendaknya sendiri, bukan kerana tekanan mana-mana pihak. Beliau sendiri yang memilih untuk berbuat demikian.
“Beliau bertindak melepaskan jawatan sebagai Presiden MCA tanpa dipaksa oleh sesiapa.
“Sebenarnya isu ini sudah tidak berbangkit. Kita mempunyai rakaman video ketika beliau mengumumkan peletakan jawatan dan perkara itu jelas membuktikan beliau tidak lagi boleh menggunakan jawatan tersebut,” katanya kepada media sambil berkongsi rakaman video berkenaan.
Pada 13 April tahun lalu, Mohammed Iqbal yang menerajui MCA sejak 2021 mengumumkan peletakan jawatan sebagai presiden berkuat kuasa serta-merta.
Dalam kenyataan ketika itu, beliau berkata, keputusan berkenaan dibuat bagi mempertahankan integritinya.
“Kriket adalah sukan yang berteraskan integriti, semangat kesukanan dan peraturan yang dihormati oleh jutaan pemain di seluruh dunia.
“Dengan meletakkan jawatan hari ini, saya mempertahankan integriti saya. Kecintaan saya terhadap sukan ini tidak akan luntur, begitu juga dengan tekad saya untuk melihat bendera negara kita berkibar di persada antarabangsa,” katanya.
Untuk rekod, beberapa pemimpin MCA telah memfailkan saman terhadap Mohammed Iqbal dan beberapa bekas ahli jawatankuasa eksekutif (Exco) berhubung pertikaian berkaitan jawatan dalam badan induk berkenaan.
Prosiding kes yang dikendalikan Hakim, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan dijangka diputuskan Isnin ini.
Prosiding yang bermula pada Oktober 2025 itu antara lain memohon supaya Mohammed Iqbal, Dr. Arun Kumar, Amarjeet Singh serta barisan kepimpinan terdahulu dihalang daripada terus menggunakan jawatan dalam MCA selepas peletakan jawatan mereka.
Pada Januari lalu, pasukan guaman mewakili Mohammed Iqbal memfailkan permohonan untuk membatalkan saman sivil berkenaan.
Peguamnya, Datuk Seri Rajan Navaratnam, berhujah bahawa plaintif telah bertindak terlalu awal dengan memfailkan tindakan tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan Mohammed Iqbal mengumumkan peletakan jawatan pada 13 April tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau kemudian difahamkan menarik balik keputusan itu dan meneruskan tugas sehingga tamat penggal.
Sementara itu, seorang lagi pemimpin MCA yang enggan dikenali berkata, Mohammed Iqbal dan barisan penyokongnya turut tewas dalam pemilihan persatuan yang diadakan selepas peletakan jawatan tersebut.
“Walaupun beliau melepaskan jawatan, namanya tetap dicalonkan semula namun tewas dalam pemilihan.
“Begitu juga dengan kumpulannya yang bertanding jawatan Exco, hampir kesemuanya gagal memperoleh kemenangan,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan perkembangan itu, tidak timbul lagi isu bahawa Mohammed Iqbal masih mempunyai sebarang jawatan dalam Persatuan Kriket Malaysia. – MalaysiaGazette
















