Menteri Besar Johor yang juga calon BN N.26 Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazali mengiringi calon N.46 Perling, Pannir Selvam (dua kiri) bersorak bersama anak muda sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Pangsapuri Bukit Saujana, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 28 JUN 2026.

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang masih gagal mengumumkan manifesto masing-masing didakwa kerana tidak bersedia berkhidmat kepada rakyat.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ini berbeza dengan BN yang melakukan persediaan awal dengan mengumumkan manifesto sebelum hari penamaan calon bertujuan menjadikan Johor maju menjelang 2030.

“Manifesto BN sempena PRN ini merupakan kesinambungan terhadap usaha yang telah dilakukan sepanjang tempoh empat tahun lalu.

“Manifesto BN adalah kesinambungan daripada enam teras Maju Johor yang telah diumumkan pada 2022. Ada pelbagai inisiatif antara agenda perumahan, agenda orang muda dan juga Bantuan Kasih Johor,” ujar Menteri Besar Johor itu.

Beliau berkata demikan kepada pemberita selepas menghadiri Program Ramah Mesra bersama Warga Pangsapuri Saujana di Pangsapuri Bukit Saujana, di sini hari ini.

Katanya, parti lain mungkin sukar berkongsi manifesto kerana manifesto terdahulu kebanyakannya janji manis yang menjanjikan bulan dan bintang.

Onn Hafiz berkata, antara janji PH yang masih belum terlaksana adalah projek Aliran Transit Automasi Bertingkat (E-ART), pelaksanaan Hospital Sultanah Aminah 2 dan pengoperasian penuh Hospital Pasir Gudang.

Jelasnya, sehingga kini ketiga-tiganya masih belum dilaksana misalnya E-ART yang diumumkan sejak dua, tiga lalu tetapi sehingga sekarang tiada perkembangan.

Begitu juga katanya, Hospital Pasir Gudang dijanjikan beroperasi penuh menjelang Jun tahun ini, tetapi sehingga sekarang masih tidak selesai.

“Jadi sebab itu saya rasa untuk mereka menjanjikan sesuatu, orang dah tak percaya. Umum memang senang nak umum, tetapi nak melaksanakannya, itu akan menunjukkan sama ada pemimpin itu ikhlas ataupun tidak,” katanya.

Kelmarin, Onn Hafiz mengumumkan Manifesto BN Johor yang menggariskan 63 tekad berteraskan enam teras Maju Johor dengan tema ‘Maju Johor, Kestabilan Dikekalkan, Kemajuan Diteruskan’.

Antara yang ditawarkan BN Johor termasuk mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat tempatan, selain meningkatkan akses pemilikan rumah subsidi Johor melalui peruntukan dana RM100 Juta.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast