KULAI – Manifesto Pakatan Harapan (PH) akan dilancar dalam masa terdekat yang mengandungi pelbagai tawaran melibatkan pendidikan, pekerjaan dan ekonomi.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, manifesto tersebut akan diumumkan Majlis Presiden PH.
“Pelbagai tawaran akan kita berikan kepada rakyat Johor yang meliputi pelbagai perkara,” katanya ditemui ketika melawat Akademi Badminton Jerung Kulai di Taman Manis di sini hari ini.
Turut hadir calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.51 Bukit Batu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Arthur Chiong Sen Sern.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan hari ini mendakwa, PH dan Perikatan Nasional (PN) seperti tidak bersedia berkhidmat kepada rakyat kerana masih gagal mengumumkan manifesto masing-masing.
Onn Hafiz berkata, ia berbeza dengan BN yang melakukan persediaan awal dengan mengumumkan manifesto sebelum hari penamaan calon bertujuan menjadikan Johor maju menjelang 2030.
Sementara itu, Taufiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, Johor merupakan negeri tertinggi menerima peruntukan kerajaan Persekutuan.
Jelas Ahli Parlimen Sungai Petani itu, keadaan tersebut membuktikan komitmen tinggi kerajaan Madani terhadap Johor.- MalaysiaGazette
















