Chong Shu Chyuan (kiri) dan calon DUN Mahkota, Dr Zuhan Zain menunjukkan bahan kempen PH yang dibuang dalam longkang di Jalan Chong Hwa dan Jalan Aman, Taman Aman di Kluang, hari ini

KLUANG – Sebanyak 10 bendera Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi N28  Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol dan tiga keping papan gambar calon PH ditemui dirosakkan serta dibuang pihak tidak bertanggungjawab.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, bahan kempen tersebut ditemui dalam longkang di Jalan Chong Hwa dan Jalan Aman, Taman Aman di sini awal pagi tadi.

“Polis membuka kertas siasatan berhubung tindakan pihak tidak bertanggungjawab merosakkan serta membuang bahan kempen PH ini.

“Pihak polis menerima laporan mengenai insiden khianat tersebut daripada wakil calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol, Chong Shu Chyuan, 43,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pengadu mendakwa menerima panggilan telefon daripada ketua pasukan kempen parti pada pukul 10.30 pagi yang memaklumkan kejadian tersebut.

“Pengadu kemudiannya pergi ke lokasi kejadian di Jalan Chong Hwa dan Jalan Aman, Taman Aman di sini untuk membuat pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mengesahkan sebanyak 10 helai bendera parti PH dan tiga keping papan gambar calon telah dicabut serta dirosakkan,” katanya.

Menurutnya, kes tersebut kini sedang disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Jika sabit kesalahan katanya, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tambahnya, polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek yang terlibat dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast