Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) menyaksikan penyerahan plak pengiktirafan daripada wakil ASEAN Records, Eldrick Koh (kiri), dan wakil Asia Record, Gillian Oii (kanan) kepada Dr Suffian (dua, kanan), baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Penyedia perkhidmatan pengurusan berat badan perubatan, Megaklinik Dr Suffian (MKDS) membuka cawangan baharu di IOI Resort City Putrajaya dalam usaha meluaskan penguasaan pasarannya menerusi bidang penjagaan kesihatan di seluruh negara.

Pengarah urusan eksekutifnya, Dr Suffian Sani Sayuti berkata, pembukaan cawangan itu mencerminkan komitmen pihaknya untuk menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi, berpusatkan pesakit dan berasaskan data yang lebih dekat kepada komuniti.

“Fokus kami adalah kepada pencegahan, intervensi awal dan rawatan perubatan diperibadikan supaya pesakit bukan sahaja menurunkan berat badan tetapo mencapai kesihatan metabolik yang lebih baik secara selamat, tersusun dan berpanjangan,” katanya selepas Majlis Perasmian MKDS Cawangan Putrajaya yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Ia merupakan cawangan ketiga di mana sebelum ini, syarikat yang beribu pejabat dan juga memiliki klinik sulungnya di Wangsa Maju di sini telah membuka cawangan kedua di Shah Alam.

Pada majlis sama, MKDS turut menerima pengiktirafan ASIA Records dan ASEAN Records susulan penyertaan 2,630 pesakit dalam program pengurusan berat badan perubatan di bawah pemantauan doktor sepanjang tahun lalu, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penanda aras serantau dalam bidang pengurusan obesiti perubatan.

Menurut Dr Suffian, cawangan itu menggabungkan konsultasi perubatan, perubatan pencegahan, rawatan diperibadikan, pendidikan kesihatan dan pemantauan klinikal di bawah satu bumbung.

Majlis perasmiann pembukaan cawangan baharu Megaklinik Dr Suffian (MKDS) di IOI Resort City, Putrajaya disempurnakan Ahmad Zahid Hamidi.

Dr Suffian berkata, kekuatan MKDS turut disokong oleh barisan lapan doktor di sekitar Lembah Klang yang menerima latihan khusus dalam pengurusan obesiti perubatan, termasuk pendedahan berterusan menerusi latihan, persidangan dan program pendidikan klinikal di luar negara.

Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan rawatan obesiti tidak dilihat hanya sebagai usaha menurunkan berat badan, sebaliknya sebagai satu bidang perubatan yang memerlukan pemantauan doktor, penilaian risiko metabolik, pemeliharaan jisim otot, intervensi gaya hidup dan rawatan diperibadikan secara menyeluruh.

“Sebab itu kami melabur dalam latihan klinikal, teknologi pemantauan dan pembangunan pasukan doktor supaya setiap pesakit menerima rawatan yang lebih selamat, tersusun dan berasaskan bukti,” katanya.

Dr Suffian berkata, MKDS kini sedang meneliti peluang memperluas rangkaian cawangannya ke seluruh Malaysia selaras dengan peningkatan keperluan terhadap perkhidmatan pengurusan berat badan perubatan, penjagaan penyakit kronik dan kesihatan pencegahan.

Beliau berkata, MKDS turut menyasarkan pembukaan cawangan antarabangsa menjelang tahun 2028 dengan Dubai dikenal pasti sebagai antara lokasi berpotensi berdasarkan kedudukannya sebagai hab penjagaan kesihatan global. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast