JOHOR BAHRU – Calon Bersama bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Nicholas Paul Vincent bertekad membawa pendekatan politik berteraskan khidmat masyarakat dengan meletakkan kepentingan penduduk sebagai keutamaan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, fokusnya bukan mengejar gelaran sebagai wakil rakyat, sebaliknya memastikan setiap suara dan keperluan penduduk Puteri Wangsa diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Bagi saya, yang penting bukan gelaran Yang Berhormat tetapi menjadi seorang yang benar-benar bekerja untuk rakyat.
“Setiap kali turun padang, saya mahu mendengar sendiri pandangan penduduk, memahami cabaran mereka dan mencari jalan penyelesaian bersama,” tulisnya di laman sosial beliau.
Beliau berkata selepas mengadakan sesi bertemu penduduk termasuk menyantuni peniaga dan pengunjung di pasar malam sekitar Puteri Wangsa.

Menurut Nicholas, setiap pertemuan bersama masyarakat mengukuhkan keyakinannya bahawa pembangunan sesebuah kawasan hanya dapat dicapai apabila pemimpin sentiasa dekat dengan rakyat dan memahami realiti kehidupan mereka.
Katanya, setiap pandangan yang diterima bukan sekadar didengar, malah akan dijadikan asas dalam memperjuangkan isu-isu yang memberi kesan kepada kehidupan penduduk.
“Saya mahu memastikan setiap suara rakyat Puteri Wangsa diberikan perhatian dan tidak dipandang sepi.
“Kepercayaan rakyat adalah satu amanah dan saya akan terus berusaha memberikan yang terbaik dengan penuh keikhlasan, kejujuran serta tanggungjawab,” ujarnya.
Katanya Puteri Wangsa mempunyai potensi besar untuk terus berkembang, namun pembangunan perlu disertai dengan usaha memperkukuh perpaduan masyarakat serta memastikan manfaatnya dapat dinikmati semua lapisan penduduk.
“Saya mahu melihat Puteri Wangsa menjadi sebuah kawasan yang lebih maju, inklusif dan membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda serta keluarga yang menetap di sini.
“Itulah komitmen saya sepanjang kempen ini iaitu terus bersama rakyat, mendengar suara mereka dan bekerja untuk masa depan Puteri Wangsa,” katanya.
Nicholas, 35, merupakan seorang profesional dalam industri minyak dan gas yang kini berkhidmat selain juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan di Tebrau dengan memberi tumpuan kepada kebajikan dan pendidikan masyarakat. – MalaysiaGazette
















