Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

GOMBAK  – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mencatat pencapaian penting dalam usaha meningkatkan pencapaian cemerlang di peringkat antarabangsa apabila berjaya menduduki kelompok keseluruhan 301–400 dalam Times Higher Education Sustainability Impact Ratings 2026, susulan penyertaan pertama kali universiti dalam penilaian tersebut.

“THE Sustainability Impact Ratings” menilai sumbangan universiti terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu merentasi aspek penyelidikan, jangkauan, pemeliharaan dan pengajaran.

Beberapa SDG berjaya menempatkan UIAM dalam kelompok 101–200 di peringkat global, iaitu SDG 1 (Tiada Kemiskinan), SDG 5 (Kesaksamaan Gender), SDG 6 (Air Bersih dan Sanitasi), SDG 14 (Hidupan di Dalam Air), dan SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh).

Pencapaian ini meletakkan UIAM dalam kalangan universiti terkemuka dari segi impak kemampanan, sekali gus mencerminkan komitmen universiti untuk menterjemahkan misinya kepada impak yang positif terhadap masyarakat dan ummah selaras dengan hala tujunya “Epistemologi Tauhidik dan kecemerlangan Ummah”.

Pencapaian ini melengkapkan lagi pengiktirafan UIAM yang semakin meningkat dalam kedudukan bidang akademik di peringkat global.

Dalam QS World University Rankings by Subject 2026 yang diumumkan baru-baru ini, UIAM berada dalam kedudukan
memberangsangkan dalam tiga bidang utama, iaitu Seni dan Kemanusiaan (401–450), Sains Sosial dan Pengurusan (451–500), serta Kejuruteraan dan Teknologi (501–550).

Pada peringkat bidang pengajian,UIAM mencatatkan kedudukan global yang kukuh dalam beberapa disiplin atau subjek, termasuk Teologi dan Pengajian Agama (25), Perakaunan dan Kewangan (251–300), Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris (251–300), Undang-Undang (251–300), Ekonomi dan Ekonometrik (301–350), serta Farmasi dan Farmakologi (301–350).

Bidang lain yang turut menduduki kelompok 500 teratas termasuklah Pendidikan (401–450), Pengajian Perniagaan dan Pengurusan (451–500), serta Sains Komputer dan Sistem Maklumat (451–500).

Dalam bidang kewangan Islam, UIAM turut mendapat pengiktirafan apabila Institut Antarabangsa Perbankan dan Kewangan Islam(IIiBF) dinobatkan sebagai pemenang pada Islamic Finance News (IFN) Awards 2026 bagi dua kategori. UIAM menerima anugerah Best Educational Institution Offering Islamic Finance Courses.

Manakala IIiBF pula dinobatkan sebagai Best Islamic Finance Research FirmB, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan UIAM dalam bidang pendidikan dan penyelidikan kewangan Islam di persada global.

Menurut Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, berkata, pencapaian-pencapaian ini mencerminkan misi UIAM untuk mengintegrasikan epistemologi tauhid dengan kecemerlangan akademik dan kecemerlangan ummah dalam mengasaskan ilmu kepada wahyu sambil terus memberikan sumbangan yang padu merentasi bidang sains, sains sosial, dan profesional.

“Kejayaan ini adalah selari dengan usaha UIAM memperkukuh agenda kemampanan dan memperluas impak penyelidikannya, Universiti kekal komited untuk melahirkan graduan dan khazanah ilmu yang berkhidmat untuk ummah global serta menzahirkan prinsip rahmatan lil alamin,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast