KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor berjaya membongkarkan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan dan cap keselamatan yang didalangi seorang wanita warga India dalam serbuan Operasi Serkap pada Sabtu lalu.
Timbalan Pengarah (Kawalan) Imigresen Selangor, Mohamad Khusairi Kamaruddin berkata, suspek wanita itu dipercayai dalang utama merupakan pemegang pas Lawatan Sosial Jangka Panjang kepada seorang warga tempatan.
Katanya, siasatan mendapati sindiket berkenaan telah menjalankan kegiatan terbabit selama kira-kira tiga tahun.
“Pelanggan akan dibawa masuk ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ditempatkan di sebuah rumah transit di Klang selama satu hingga dua minggu.
“Sepanjang tempoh tersebut, suspek menyediakan pelbagai dokumen palsu termasuk rekod perjalanan bagi menggambarkan pelanggan mempunyai sejarah perjalanan yang kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, sindiket terbabit turut dikesan menghasilkan rekod pekerjaan palsu di Malaysia dengan menyediakan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang palsu.
“Dalam operasi ini, kita telah menahan 12 warga asing antaranya India, Bangladesh dan Sri Lanka yang berusia 25 hingga 40 tahun dengan kesemuanya ditempatkan di Depot Imigrsen bagi tujuan siasatan lanjut.
“JIM Selangor sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti rangkaian sindiket termasuk kemungkinan penglibatan individu lain di dalam dan luar negara,” jelasnya.
Tegasnya, sebarang aktiviti pemalsuan dokumen, penyalahgunaan kemudahan imigresen serta cubaan mendapatkan visa menggunakan dokumen palsu merupakan kesalahan serius di bawah undang-undang negara.
“Tindakan penguatkusaan akan terus dipergiat bagi memastikan keselamatan negara serta memelihara intergriti sistem imigresen Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette
















