KUALA LUMPUR – Semua pihak digesa menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang mengiktiraf kepimpinan baharu Persatuan Kriket Malaysia (MCA) bagi membolehkan badan induk itu memberi tumpuan sepenuhnya kepada agenda pembangunan sukan berkenaan tanpa gangguan.
Pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, keputusan yang dibuat oleh badan kehakiman perlu dihormati kerana ia menjadi asas kepada kestabilan pentadbiran sesebuah persatuan sukan.
Katanya, keputusan itu turut memberikan mandat jelas kepada barisan pengurusan semasa untuk meneruskan pentadbiran dan merancang pembangunan kriket negara.
“Saya anggap keputusan mahkamah jelas bahawa pengurusan baharu boleh menggunakannya sebagai punca kuasa untuk menguruskan persatuan seperti biasa sebagai pihak yang mempunyai kuasa mentadbir.
“Semua pihak perlu menghormati keputusan mahkamah. Siapa lagi yang harus kita hormat kalau bukan mahkamah sebagai badan tertinggi.
“Sepatutnya tiada lagi halangan kepada pengurusan sekarang untuk mentadbir persatuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Mahkamah Tinggi memutuskan peletakan jawatan bekas Presiden MCA, Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali, bersama bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco), Dr. Arun Kumar Beshamber Nath dan Amarjeet Singh adalah sah.
Mahkamah turut memutuskan ketiga-tiga mereka tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam MCA, selain mengesahkan tiada cabaran dibuat terhadap kesahihan Mesyuarat Agung Luar Biasa pada 13 April 2025 dan Mesyuarat Agung Dwitahunan pada 27 April tahun lalu.
Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan turut memutuskan cubaan mereka menarik balik peletakan jawatan telah ditolak secara sah oleh persatuan menerusi surat bertarikh 23 April 2025.
Selain itu, mahkamah mengeluarkan perintah menghalang mereka daripada mendakwa diri sebagai pemegang jawatan atau bertindak bagi pihak MCA.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat MCA, Richard Tan Wuu Chyau dalam satu notis berkata, keputusan mahkamah diharap dapat menamatkan kemelut yang berlarutan dan membolehkan semua pihak kembali bersatu demi memajukan sukan kriket negara.
“Kami percaya keputusan ini membawa penyelesaian kepada perkara ini dan membolehkan semua pihak bergerak maju bersama dalam perpaduan.
“Marilah menumpukan usaha kolektif kita untuk membangunkan kriket Malaysia demi kebaikan generasi masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette
















