Seorang pegawai kanan sebuah agensi penguat kuasa direman minta suapan RM50,000. Foto SPRM

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan sebuah agensi penguat kuasa direman tiga hari disyaki meminta suapan kira-kira RM50,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap sebuah syarikat yang memiliki kenderaan tidak berdaftar.

Perintah reman terhadap suspek sehingga 2 Julai ini dikeluarkan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu telah ditahan sekitar jam 5 petang semalam di sekitar Lembah Klang.

“Siasatan awal mendapati, suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada 23 Jun lalu dan telah meminta wang rasuah sebanyak RM50,000 untuk menutup kes syarikat tersebut.

“Bagaimanapun, suspek kemudian bersetuju menerima wang rasuah secara tunai sebanyak RM15,000 setelah diminta untuk mengurangkan bayaran daripada RM50,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast