Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 25 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang memuktamadkan pembaharuan undang-undang kontrak negara bagi meningkatkan kepastian perundangan, mengurangkan kos transaksi serta pertikaian komersial, sekali gus memperkukuh keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu turut bertujuan menyelaraskan kerangka perundangan komersial negara dengan piawaian ASEAN dan antarabangsa selaras perkembangan ekonomi digital.

Beliau berkata, cadangan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan hasil kajian semula Akta Kontrak 1950 (Akta 136) disasarkan dibentangkan pada mesyuarat Dewan Rakyat akan datang, tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri.

“Akta 136 yang dahulunya dikenali Ordinan Kontrak 1950 ialah undang-undang utama yang mengawal selia prinsip pembentukan, pelaksanaan dan pembatalan kontrak serta hak dan tanggungjawab pihak yang berkontrak di negara ini.

Statutory illustration dalam Akta 136 ini masih menggunakan unit timbangan gantang, iaitu ukuran yang sudah lama tidak digunakan dalam urus niaga harian rakyat Malaysia.

“Ini sekadar satu petunjuk kecil bagaimana akta yang berusia lebih 75 tahun ini memerlukan semakan menyeluruh supaya selaras dengan realiti perniagaan masa kini,” katanya ketika sesi penerangan Laporan Akhir Kajian Pembaharuan Undang-Undang Kontrak di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Azalina, jawatankuasa yang ditubuhkan bagi mengkaji pembaharuan itu menghasilkan tiga cadangan utama, iaitu semakan dan pemodenan Akta Kontrak 1950, cadangan Rang Undang-Undang Kontrak (Hak Pihak Ketiga) serta Rang Undang-Undang Agensi.

Beliau berkata, cadangan RUU Kontrak (Hak Pihak Ketiga) bertujuan mengiktiraf hak pihak ketiga yang sebelum ini tidak diperuntukkan secara jelas dalam Akta 136.

Sementara itu, cadangan RUU Agensi pula akan menggantikan Bahagian X Akta 136 dengan kerangka yang lebih moden, termasuk mengambil kira perkembangan baharu seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam urus niaga komersial.

“Ketiga-tiga kajian ini berbeza dari segi skop, tetapi saling berkait dan disusun bersama dalam laporan akhir bagi memberi gambaran menyeluruh kepada Ahli Parlimen mengenai hala tuju pembaharuan undang-undang kontrak negara,” katanya.

Azalina berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri turut akan mengadakan sesi taklimat khas kepada semua Ahli Parlimen bagi memberi penjelasan lanjut mengenai aspek teknikal cadangan pembaharuan tersebut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast