KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tenom menggesa tindakan paling tegas diambil dalam kejadian buli yang berlaku di sebuah asrama sekolah rendah di daerah ini baru-baru ini.

Ketua Penerangannya, Mohd Aruan Siden berkata, insiden seumpama itu bukan sahaja mencederakan fizikal mangsa, malah meninggalkan kesan emosi dan psikologi yang boleh berpanjangan sehingga dewasa.

“Pihak berkuasa perlu segera menjalankan siasatan yang telus, adil dan menyeluruh bagi memastikan setiap pihak terlibat dipertanggungjawabkan mengikut peraturan serta undang-undang.

“Buli bukan budaya dan bukan gurauan. Buli adalah satu bentuk keganasan yang tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Aruan Siden

Katanya, dengan penguatkuasaan Akta Antibuli 2026 (Akta 876), ia seharusnya menjadi undang-undang yang cukup kukuh bagi mencegah dan membanteras gejala ini daripada terus membarah dalam ekosistem pendidikan negara.

“Tapi, undang-undang sahaja tidak cukup jika tiada kerjasama menyeluruh daripada semua pihak.

“Kita tidak boleh lagi bertindak selepas sesuatu tragedi buruk berlaku, sebaliknya usaha pencegahan dan pendidikan nilai hormat-menghormati perlu diperkukuh dari peringkat awal lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Aruan turut menuntut agar kebajikan, keselamatan serta proses pemulihan emosi mangsa buli diberikan perhatian dan keutamaan yang paling tinggi oleh pihak berkaitan.

Pada 11 Jun lalu, satu rakaman video didakwa memaparkan perbuatan buli membabitkan murid di sebuah sekolah pedalaman tular di media sosial.

Menerusi video tersebut memaparkan seorang kanak-kanak perempuan dipukul hingga menangis sebelum dipaksa ke bilik air untuk mencuci muka dan dipercayai dirakam oleh rakan yang melakukan perbuatan buli itu.

Susulan itu, pihak polis membuka kertas siasatan kejadian seorang murid perempuan berusia 10 tahun dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah asrama sekolah rendah di daerah Tenom selepas video insiden itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abdul Razak berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu jam 8 pagi sebelum membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 507B Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam kejadian dipercayai di asrama puteri di pedalaman daerah ini, mangsa dilaporkan dipukul, ditendang dan ditarik rambut sehingga cedera pada muka serta kaki.

Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan antara mangsa dan seorang pelajar perempuan berusia 11 tahun yang juga rakan sekelas serta tinggal di bilik asrama sama. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast