KUANTAN – Jentera Barisan Nasional (BN) Pahang fokus bantu kempen di kawasan Felda di Segamat sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau sendiri akan turun padang Khamis ini mengetuai jentera kempen di sana.
“Dalam PRN Negeri Johor, Pahang turut diberi tanggungjawab menjaga Tanjung Piai, Pontian dan empat DUN iaitu Pekan Nanas, Pulau Sebatang, Benut dan Kukup.
“Pahang juga diberi kepercayaan jaga kawasan Felda. Hari Khamis saya akan pergi ke kawasan Felda di sebelah Segamat untuk membantu jentera parti di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Guru Pahang 1st 2026 dan Penyampaian Hadiah Kecemerlangan SPM 2025 Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.
Sebagai rekod, terdapat enam tanah rancangan Felda dalam Wilayah Segamat membabitkan Felda Bukit Batu, Felda Bukit Permai, Felda Layang-Layang, Felda Medoi, Felda Palong Timur, Felda Pemanis.
Secara keseluruhan, terdapat 73 Felda di seluruh Johor yang mewakili 35.7 peratus jumlah undi. – MalaysiaGazette
















