KUALA LUMPUR – Kanak-kanak bawah umur kini dikesan menjadi sasaran sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen yang menggunakan platform media sosial seperti TikTok untuk menawarkan pinjaman secara mudah tanpa sebarang tapisan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim mendedahkan, perkembangan itu amat membimbangkan apabila pihaknya menerima aduan membabitkan seorang remaja berusia 15 tahun yang berjaya memperoleh pinjaman hanya dengan mengemukakan kad pengenalan.
Beliau berkata, remaja terbabit dikatakan menerima dua pinjaman masing-masing RM100 selepas tertarik dengan iklan pinjaman yang ditemuinya di TikTok sebelum diminta menyerahkan pelbagai maklumat peribadi termasuk gambar ahli keluarga dan nombor telefon.
“Lebih membimbangkan, kanak-kanak berusia 15 tahun ini kemudian diugut sehingga mendatangkan ketakutan untuk hadir ke sekolah. Ini menunjukkan sindiket ah long kini tidak lagi memilih mangsa dan sanggup menyasarkan golongan bawah umur.
“Bagaimana seorang kanak-kanak yang belum cukup umur boleh mendapat pinjaman dengan begitu mudah tanpa sebarang semakan? Perkara ini perlu dipandang serius oleh pihak berkuasa,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurut beliau, MHO menggesa pihak berkuasa termasuk agensi berkaitan mengambil tindakan segera terhadap iklan pinjaman yang berleluasa di media sosial bagi mengelakkan lebih ramai kanak-kanak menjadi mangsa.
Dalam perkembangan lain, Hishamuddin berkata, pihaknya turut mengendalikan satu lagi kes membabitkan seorang mangsa yang membuat pinjaman kira-kira RM30,000 sebelum terjerumus dalam kitaran pinjaman bertindih sehingga gagal melunaskan hutang.
Katanya, sindiket terbabit didakwa memaksa mangsa merakam video dalam keadaan tidak berpakaian sebagai alasan kononnya untuk tujuan pengesahan identiti sebelum menggunakan rakaman itu sebagai ugutan.
“Ini bukan lagi sekadar isu pinjaman wang. Rakaman berkenaan digunakan sebagai senjata untuk memeras ugut mangsa. Pada pandangan kami, perbuatan ini mempunyai unsur jenayah termasuk ugutan jenayah dan pemerasan.
“Keadaan mangsa juga sangat membimbangkan sehingga berada dalam tekanan emosi yang serius akibat ugutan berterusan,” ujarnya.
Beliau turut melahirkan kebimbangan apabila terdapat dakwaan proses siasatan terhadap laporan berkaitan ugutan berkenaan tidak berjalan serentak walaupun melibatkan kesalahan berbeza.
Sementara itu, Hishamuddin berkata, MHO turut menerima aduan membabitkan sebuah keluarga yang mendakwa dipaksa menandatangani perjanjian pinjaman persendirian bernilai RM200,000 walaupun tidak pernah membuat pinjaman tersebut.
Beliau berkata, lebih membimbangkan apabila tanah milik keluarga berkenaan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM4 juta didakwa telah dikenakan kaveat oleh individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pemberi pinjaman menggunakan nama pihak lain.
“Kami juga mengesyaki mungkin terdapat dokumen lain yang ditandatangani tanpa pengetahuan penuh mangsa termasuk kemungkinan membabitkan surat kuasa wakil (Power of Attorney) atau Memorandum of Transfer.
“Jika benar perkara ini berlaku, ia bukan lagi sekadar isu pinjaman wang tetapi membabitkan kemungkinan kehilangan aset bernilai jutaan ringgit akibat tekanan dan penyalahgunaan dokumen,” jelas beliau.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak berkuasa berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen yang didakwa semakin agresif menggunakan media sosial, ugutan, pemerasan serta penyalahgunaan dokumen untuk memerangkap mangsa. -MalaysiaGazette
















