JOHOR BAHRU – Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pas sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai petanda kedua-dua pihak berdepan kebimbangan terhadap sokongan akar umbi.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustapha berkata, perubahan strategi itu jelas berbeza dengan pendirian awal yang mahu bertanding secara bersendirian.
Beliau berkata, keputusan tidak meletakkan calon di semua kerusi serta kerjasama yang terjalin kemudian menunjukkan berlaku perubahan pendekatan.
“Bagi kita, Pakatan Harapan (PH) kekal konsisten. Kita berkempen secara sihat, menggunakan fakta dan mengajak rakyat keluar mengundi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas melakukan walkabout di sekitar premis perniagaan dan kedai makan di Taman Desa Rahmat, di sini, hari ini.

Turut hadir calon PH N.47 Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd Puad.
Sementara itu, Zaliha memberitahu, momentum sokongan terhadap gabungan itu semakin meningkat di seluruh Johor menjelang hari pengundian PRN Johor, 11 Julai ini.
Jelasnya, trend berkenaan dapat dilihat melalui sambutan pada program yang dihadiri pimpinan parti termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sokongan itu turut dapat dirasai ketika turun berkempen di beberapa kawasan termasuk Kempas dan Senggarang.
“Kita melihat gelombang rakyat bermula dari selatan hingga ke utara Johor. Namun kita tidak boleh terlalu selesa, sebaliknya perlu terus bekerja sehingga hari pengundian,” katanya.

Selain itu, Zaliha turut mengingatkan jentera PH agar memberi perhatian serius terhadap persediaan petugas Pemerhati, Agen Tempat Mengundi dan Agen Mengira Undi (PACA) bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.
“Penyediaan PACA mesti mantap kerana ia merupakan senjata terakhir yang mampu menentukan kemenangan pada hari pengundian.
“Jentera PH perlu memahami sepenuhnya peranan dan memastikan setiap peraturan dipatuhi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















