MUAR – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyangkal dakwaan kononnya kehadiran beliau dalam program Felda yang dibatalkan hingga mencetuskan kontoversi sebelum ini ada kaitan dengan kempen politik.
Sebaliknya, menurut Onn Hafiz, kehadiran beliau pada program itu bertujuan menyerahkan geran-geran tanah kepada peneroka Felda yang layak.
Malah, ujar beliau, program itu juga berlangsung di luar waktu berkempen mana-mana pilihan raya.
“Saya dapat surat daripada pengurusan Felda sendiri bahawa program itu terpaksa ditangguhkan di atas sebab-sebab teknikal.
“Jadi, tak apalah, saya rasa kita move on daripada insiden-insiden tersebut dan dari segi kempen (PRN Johor) kita terus berkempen secara sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program bersama masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani di sini, hari ini.

Onn Hafiz ditanya berkenaan penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang mana Kerajaan Persekutuan tidak menyekat sebarang penganjuran program bersama peneroka Felda oleh kerajaan negeri.
Namun, kata Perdana Menteri, penggunaan jentera Kerajaan Persekutuan untuk tujuan kempen pilihan raya sama sekali tidak diizinkan.
“Jadi dalam soal Hari Peneroka, ia tidak dilarang. Kerajaan negeri nak pergi bagi geran tanah, itu hal dia walaupun dia tahu peraturan pilihan raya… bukan larangan. Tapi untuk gunakan jentera Felda berkempen, tidak boleh,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette
















