GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang merancang mewujudkan pusat penyembelihan di setiap daerah sebagai langkah memperkukuh ekosistem industri ternakan, meningkatkan tahap keselamatan makanan serta memastikan aktiviti penyembelihan dilaksanakan secara lebih tersusun, bersih dan mematuhi syarak.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Rashidi Zinol berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri membangunkan sektor agromakanan yang lebih moden dan mampan, selaras dengan keperluan industri serta peningkatan permintaan terhadap produk makanan yang selamat, berkualiti dan diyakini status halalnya.
Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif itu akan melibatkan kerjasama strategik antara kerajaan negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang (JPVPP), Bahagian Kerajaan Tempatan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) serta agensi berkaitan bagi memastikan pembangunan dan pengoperasian pusat penyembelihan memenuhi keperluan teknikal, kesihatan awam, pengurusan sisa, kebajikan haiwan dan pematuhan syariah.
Katanya, ketika ini aktiviti penyembelihan di beberapa kawasan masih dijalankan secara berskala kecil dan berasingan mengikut keperluan setempat, justeru pendekatan yang lebih sistematik dan berpusat perlu diwujudkan bagi memastikan standard yang seragam dapat dilaksanakan di seluruh negeri.
“Pusat penyembelihan berpusat di setiap daerah bukan sahaja menjadi lokasi penyembelihan haiwan ternakan seperti lembu, kambing dan kerbau, malah berfungsi sebagai hab sokongan industri ternakan dengan menyediakan kemudahan pemeriksaan veterinar, pemantauan kesihatan haiwan, kawalan penyakit, pengurusan sisa yang lebih cekap serta ruang pemprosesan yang memenuhi standard kebersihan dan keselamatan makanan.
“Setiap haiwan yang dibawa masuk akan menjalani pemeriksaan oleh pihak veterinar sebelum dan selepas penyembelihan bagi memastikan hanya haiwan yang sihat dan selamat dibenarkan memasuki rantaian bekalan makanan pengguna,” katanya.
Beliau berkata, penglibatan JHEAIPP turut membolehkan pemantauan terhadap penyembelih bertauliah, kaedah penyembelihan serta pematuhan syariah dilaksanakan dengan lebih berkesan dan konsisten.
“Kewujudan pusat penyembelihan itu dijangka memberi manfaat kepada penternak dan usahawan tempatan menerusi kemudahan yang lebih moden dan lengkap, sekali gus membantu meningkatkan produktiviti serta memperluaskan pasaran produk ternakan.
“Kerajaan negeri juga akan mengadakan sesi libat urus bersama penternak, pengusaha industri, pihak berkuasa tempatan, agensi teknikal dan pemegang taruh bagi menentukan lokasi, kapasiti serta model operasi yang paling sesuai untuk setiap daerah,” katanya. – MalaysiaGazette
















