Ahmad Samsuri Mokhtar

MUAR – Pas menafikan wujud rundingan dengan Barisan Nasional (BN) bagi memenangkan calon parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, meskipun menggesa penyokong Perikatan Nasional (PN) mengundi calon BN di kerusi yang tidak ditandingi gabungan berkenaan.

Naib Presiden Pas yang juga Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tanggapan kononnya Pas dan BN kini bekerjasama hanyalah persepsi dan andaian pihak luar.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, perkara itu timbul berikutan situasi PN yang tidak bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus mewujudkan keperluan pertimbangan di kerusi tertentu.

“Kerjasama yang berlaku sekarang itu (hanya) pada tanggapan di luar tetapi apa yang berlaku ialah persefahaman di tempat masing-masing sebab PN bukan bertanding di keseluruhan 56 kerusi.

“Jadi tentulah tempat yang PN tak bertanding itu kena ada satu perkiraan bagaimana undi hendak diberikan,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi walkabout bersama calon PN DUN Maharani, Anuar Hayan di Bandar Maharani, di sini malam tadi.

Ahmad Samsuri (kiri) mengiringi Anuar (kanan) pada sesi walkabout di Bandar Maharani, Muar, malam tadi.

Sebelum ini, hubungan Pas dan BN menjadi perhatian susulan gesaan kepimpinan Pas supaya ahli dan penyokong parti itu mengundi calon UMNO-BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi PN pada PRN Johor.

Ketetapan itu dibuat bagi mengelakkan undi penyokong PN diberikan kepada Pakatan Harapan (PH) dalam apa jua keadaan.

Mengulas perkara itu, Ahmad Samsuri yang juga dikenali sebagai Dr. Sam berkata, situasi berkenaan tidak wajar disalah tafsir sebagai kerjasama politik antara Pas dan BN.

“Tak ada… tak ada (perbincangan rundingan politik PAS-BN), kita fokus kepada jentera masing-masing buat kerja,” katanya.

PRN Johor ke-16 pada 11 Julai ini bakal menyaksikan BN dan PH bertembung di kesemua 56 kerusi DUN.

Seramai 56 calon PH terdiri daripada 20 calon PKR, 19 Amanah dan 17 DAP.

BN yang bertanding secara solo untuk kembali mentadbir kerajaan negeri pula menampilkan gabungan 37 calon UMNO, 15 MCA dan empat MIC.

Manakala PN mengagihkan 33 kerusi yang ditandinginya antara Bersatu (16), Pas (11), Pejuang (1) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) di lima kerusi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast