Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, David Cheong

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, David Cheong mencadangkan Kerajaan Selangor mengkaji semula dasar pelesenan perniagaan dengan memberi pilihan tempoh sah lesen sehingga tiga tahun bagi premis perniagaan berisiko rendah.

Beliau berkata, cadangan itu telah dikemukakan menerusi surat rasmi kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bagi mengurangkan beban pentadbiran perusahaan kecil dan sederhana (PKS), di samping meningkatkan kecekapan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, kebanyakan lesen perniagaan ketika ini perlu diperbaharui setiap tahun walaupun terdapat premis yang telah lama beroperasi serta mempunyai rekod pematuhan yang baik.

“Kerajaan Negeri wajar mempertimbangkan pemberian pilihan tempoh sah lesen sehingga tiga tahun bagi sektor perniagaan yang dikategorikan sebagai berisiko rendah.

“Ia bukan satu kewajipan baharu, sebaliknya memberi lebih banyak pilihan kepada para peniaga mengikut keperluan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

David berkata, PKS kini berdepan pelbagai cabaran termasuk peningkatan kos operasi, ketidaktentuan ekonomi global, kekurangan tenaga kerja, persaingan daripada perniagaan haram dan kerenah birokrasi.

Sehubungan itu, beliau berpandangan dasar pelesenan lebih fleksibel mampu mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih mesra, cekap dan berdaya saing.

Beliau berkata, pelaksanaan tempoh lesen lebih panjang juga mampu mengurangkan beban pentadbiran PBT yang setiap tahun perlu memproses ribuan permohonan pembaharuan lesen.

“Pengurangan urusan pembaharuan tahunan membolehkan lebih banyak sumber manusia ditumpukan kepada aspek penguatkuasaan, pengurusan bandar dan peningkatan mutu penyampaian perkhidmatan.

“Pada masa sama, peniaga tidak lagi perlu hadir setiap tahun semata-mata untuk memperbaharui lesen, sekali gus menjimatkan masa, kos dan tenaga,” ujarnya.

Menurut beliau, sekiranya pemegang lesen memilih membuat bayaran bagi tempoh dua atau tiga tahun, PBT turut menerima hasil lebih awal sekaligus membantu memperkukuhkan aliran tunai serta perancangan kewangan.

David turut menegaskan, cadangan itu tidak akan menjejaskan kuasa penguatkuasaan PBT.

Ini kerana, pihak berkuasa masih mempunyai kuasa menjalankan pemeriksaan, mengeluarkan notis, mengambil tindakan undang-undang serta menggantung atau membatalkan lesen terhadap premis melanggar syarat.

Beliau berkata, sekiranya hanya 30 hingga 40 peratus pemegang lesen memilih pembaharuan selama tiga tahun, ia sudah memadai untuk mengurangkan kesesakan urusan di kaunter PBT setiap tahun.

Katanya, langkah itu juga selaras dengan usaha pendigitalan perkhidmatan awam, pengurangan kerenah birokrasi serta memperkukuhkan tadbir urus yang baik, selain membantu menjadikan Selangor sebagai destinasi pelaburan yang lebih kompetitif.

“Saya berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan cadangan ini dengan serius serta mengarahkan Jabatan Kerajaan Tempatan Negeri Selangor bersama semua PBT menjalankan kajian kebolehlaksanaan dan sesi libat urus bersama komuniti perniagaan bagi menambah baik sistem pelesenan sedia ada,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast