Calon Barisan Nasional (BN) N.18 Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan.

BATU PAHAT – Datuk Zulkurnain Kamisan berikrar menjadikan penyelesaian isu banjir sebagai keutamaan sekiranya diberi mandat sekali lagi oleh pengundi bagi membuka ruang kepada pembangunan lebih pesat di Sri Medan yang dilihat berpotensi mendapat limpahan manfaat daripada pembangunan Johor-Singapura Special Economic Zone (JS-SEZ).

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan yang mesra dengan panggilan Tok Jun menegaskan, masalah banjir yang berlarutan sejak tahun 1960-an menjadi faktor utama yang mengekang pembangunan di kawasan berkenaan berbanding tempat-tempat lain seperti Parlimen Batu Pahat dan Parlimen Sri Gading.

“Untuk mendapatkan pembangunan yang lebih pesat di kawasan luar bandar, khususnya DUN Sri Medan, kita perlu menyelesaikan masalah asas terlebih dahulu iaitu banjir.

“Selagi isu ini tidak diselesaikan, pembangunan akan terus terencat,” katanya kepada MalaysiaGazette dalam temu bual khas sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di sini, hari ini .

Zulkurnain berkata, beliau konsisten membangkitkan keperluan pembangunan yang seimbang antara bandar dan luar bandar dalam setiap sidang Dewan Negeri Johor agar kawasan seperti Sri Medan tidak terus tercicir.

Katanya, pembangunan besar yang sedang dirancang kerajaan negeri termasuk JS-SEZ perlu dimanfaatkan oleh kawasan luar bandar supaya pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.

Mengulas mengenai keperluan pusat pemindahan banjir, beliau berkata, pusat pemindahan kekal bernilai RM7.66 juta yang mampu menempatkan sehingga 500 mangsa merupakan satu kemudahan penting, namun masih belum mencukupi sekiranya berlaku banjir besar.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri turut menaik taraf beberapa sekolah yang sebelum ini dijadikan pusat pemindahan sementara dengan kemudahan tandas serta bilik darjah yang lebih baik bagi menampung pertambahan mangsa ketika musim banjir.

Menurutnya lagi, antara perkembangan penting dalam usaha menangani banjir ialah pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bandar Batu Pahat dan RTB Sungai Simpang Kiri yang melibatkan peruntukan keseluruhan melebihi RM250 juta.

Selain itu, beliau turut mencadangkan pembinaan kolam takungan banjir di Chaah bagi menahan aliran air sebelum memasuki Sungai Simpang Kiri dan seterusnya ke kawasan Sri Medan.

“Saya telah membangkitkan cadangan ini pada tahun 2025 dan ia disambut baik oleh Jabatan Pengairan dan Saliran sebelum diluluskan oleh kerajaan Persekutuan menerusi Bajet 2026.

“Jika projek ini berjalan lancar, saya yakin masalah banjir yang sekian lama menghantui penduduk Sri Medan dapat diselesaikan dengan lebih berkesan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zulkurnain berkata, beliau juga akan terus memperjuangkan pelaksanaan RTB Fasa Kedua memandangkan projek sedia ada hanya melindungi sebahagian kawasan DUN Sri Medan dan Pekan Parit Sulong.

Katanya, sekiranya diberi mandat sekali lagi, beliau akan membawa perkara itu ke peringkat kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dengan sasaran pelaksanaannya dapat direalisasikan sebelum tahun 2030.

Mengulas mengenai landskap politik di Sri Medan, beliau berkata, kawasan itu yang mempunyai kira-kira 91 peratus pengundi Melayu terus menjadi kubu kuat BN sejak tahun 1974.

“Saya yakin pengundi DUN Sri Medan masih menilai jasa dan pembangunan yang telah dibawa oleh kerajaan Barisan Nasional.

“Insya-Allah pada 11 Julai nanti, saya berharap mereka akan terus memberikan sokongan kepada BN,” katanya yang merupakan penyandang kerusi DUN berkenaan selama empat penggal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast