KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga asing ditahan selepas memandu secara agresif dan berbahaya sejauh 15 kilometer (KM) ketika dikejar polis di Jalan Teknologi Kota Damansara, Petaling Jaya, hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian aksi kejar-mengejar itu pada jam 12.16 tengah malam.
“Siasatan mendapati, sebuah kereta peronda polis telah mengejar Honda Jazz dinaiki empat suspek di Bulatan Subang Airport menghala ke Sungai Buloh.
“Suspek telah memandu secara agresif dan berbahaya sejauh 15km sebelum berjaya ditahan.
“Dua lelaki warga asing dalam lingkungan usia 20-an berjaya ditahan di lokasi, manakala dua suspek lain berjaya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, hasil ujian awal saringan air kencing mendapati salah seorang daripada suspek ditahan dikesan positif tetrahydrocannabinol (THC).
Susulan itu, dua suspek terbabit direman selama dua hari hingga esok untuk membantu siasatan lanjut, manakala dua suspek yang masih bebas sedang giat dikesan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu atau gopoh serta berbahaya, jelasnya. – MalaysiaGazette
















