MUAR – Memasuki hari keenam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, calon Pakatan Harapan (PH), Md Ysahrudin Kusni tampil membawa tawaran yang dekat dengan keperluan harian penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning.
Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning berkata, ia termasuk ambulans percuma, memperluaskan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada belia tercicir, jalan raya rosak serta menaik taraf masjid uzur.
Katanya, tawaran berkenaan lahir daripada pengalaman beliau sendiri ketika berkhidmat di kawasan berkenaan selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Kawasan berkenaan bagaimanapun terlepas ke Barisan Nasional (BN) semasa PRN Johor pada 2022.
“Alhamdulillah ketika itu kita dapat melaksanakan beberapa inisiatif untuk rakyat termasuk penyediaan tangki air di Bukit Naning dan jika dipilih kali ini, saya mahu teruskan agenda kemudahan asas, kos mendapatkan rawatan kesihatan dan peluang masa depan anak-anak.
“Antara keutamaan ialah menyediakan sebuah ambulans di Pusat Khidmat DUN Bukit Naning bagi membantu pesakit terlantar mendapatkan rawatan tanpa perlu menanggung kos pengangkutan yang tinggi,” katanya.

Menurut Timbalan Pengerusi PKR Johor itu, ketika ini ramai pesakit terlantar di Bukit Naning terpaksa dihantar ke hospital menggunakan ambulans swasta kerana tiada pilihan.
“Sekali perjalanan boleh mencecah RM400. Kalau tiga kali ulang-alik sudah RM1,200 sebab itu antara tawaran saya ialah menyediakan ambulans di pusat khidmat untuk kegunaan rakyat Bukit Naning secara percuma,” katanya.
Selain aspek kebajikan, Md Ysahrudin berkata, beliau mahu memastikan lebih ramai anak muda yang tercicir daripada arus pendidikan mendapat peluang mengikuti latihan TVET bagi meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran mereka.
“Mengenai soal pendidikan ini, kita akan tambahkan lagi pusat-pusat rakyat dan berikan latihan-latihan TVET kepada pelajar yang tercicir.
“Turut diberi perhatian kemudahan awam termasuk masjid yang uzur, klinik kerajaan yang terhad, serta jalan raya dan jambatan yang sering rosak akibat struktur tanah gambut,” katanya.
Md Ysahrudin berkata, beliau berharap rekod perkhidmatannya sebelum ini menjadi asas keyakinan pengundi, termasuk
masyarakat di kawasan pedalaman yang bergantung kepada hasil tanaman dan masih memerlukan bantuan daripada wakil rakyat.
“Saya bersyukur kerana ada sedikit trek rekod dan ramai orang mengenali saya. Saya harap semua pengundi keluar mengundi kerana apabila peratus keluar mengundi tinggi, itulah manifestasi sebenar kehendak rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















