KLUANG – “Saya mahu yuran pendidikan awal kanak-kanak diberikan secara percuma”, demikian menurut calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) bagi DUN N29 Mahkota, Abd Hamid Ali untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ini.
Menurutnya, bantuan itu sangat penting bagi membantu mengurangkan beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa ketika ini.
“Kos yuran tadika swasta yang tinggi menyebabkan ramai ibu bapa dalam kalangan masyarakat marhaen semakin tidak mampu untuk membiayai pendidikan awal anak-anak mereka.
“Penyediaan pendidikan percuma untuk kanak-kanak seawal usia empat hingga lima tahun adalah satu pelaburan jangka masa panjang yang mampu dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan demi masa depan generasi baharu,” katanya kepada MalaysiaGazette.
“Soalnya, jika ada ibu bapa yang mampu sekalipun untuk membayar, adakah standardnya berbaloi?
“Pengusaha tadika menjanjikan pendidikan yang baik tetapi mengenakan yuran yang agak tinggi.
“Niat saya membawa usul supaya pendidikan awal ini diberikan percuma kerana saya percaya kerajaan Johor dan Persekutuan mempunyai kemampuan untuk menyediakannya,” katanya.
Abd Hamid yang telah bertemu hampir 50 peratus pengundi kawasan Mahkota melahirkan rasa optimis melihat perubahan trend sokongan masyarakat setempat yang mahukan suara lebih bebas demi memperjuangkan isu-isu kos sara hidup.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu sensitif termasuk kontroversi berkaitan isu babi yang kini dikaitkan dengan parti Bersama dalam kehangatan kempen, Abd Hamid menyifatkan perkara tersebut sebagai lumrah dalam mana-mana pilihan raya.
“Kenyataan yang dikeluarkan oleh segelintir calon Bersama itu merupakan pandangan peribadi dan bukannya melambangkan dasar atau pendirian rasmi parti.
“Dalam kegairahan mendapat undi, memang perkara (terlepas cakap) ini akan berlaku. Dua perkara yang agak sensitif melibatkan calon ini adakalanya memberi kesan kepada parti, tetapi saya melihat ia adalah perkara normal dalam berkempen.
“Mungkin mereka terlalu teruja menyuarakan sesuatu sehingga leka atas dasar parti yang kita bawa,” ujarnya.
Abd Hamid turut berharap agar orang ramai tidak mudah melenting dan menilai setiap isu dengan adil tanpa mengenepikan prinsip hormat-menghormati sesama rakyat Malaysia.
Bagi DUN Mahkota memperlihatkan pertandingan tiga penjuru di mana Abd Hamid Ali akan menentang penyandang iaitu dari Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah dan calon dari Pakatan Harapan (PH) Ahmad Zuhan Md Zain.
Sebagai rekod, Syed Hussien memenangi kerusi tersebut pada siri Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan pada 28 September 2024 dengan majoriti besar sebanyak 20,648 undi.
PRK berkenaan diadakan berikutan kematian penyandang terdahulu daripada BN, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos 2024.
Bagi saingan PRN Johor ke-16 ini, proses mengundi dijadualkan berlangsung pada 11 Julai ini melibatkan jumlah keseluruhan seramai 66,318 pengundi berdaftar. – MalaysiaGazette
















