Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin
Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin

KUALA LUMPUR – Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang didakwa menyebut nama individu tidak diiktiraf sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ketika bacaan doa dalam khutbah Jumaat.

Pengerusi Sekretariat Taat Setia Sokongan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata, pihaknya telah menyerahkan aduan rasmi secara bertulis kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) pada Rabu berhubung perkara itu.

Menurut beliau, aduan tersebut turut membabitkan aktiviti jelajah atau ‘road tour’ yang dianjurkan oleh pihak tertentu termasuk penganjuran solat Jumaat di beberapa lokasi.

“Tindakan menyebut nama individu palsu yang tidak diiktiraf sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dalam bacaan doa telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam mengenai institusi raja yang sah.

“Ia juga merupakan satu bentuk penderhakaan kerana secara jelas mencabar kedaulatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir yang bersemayam ketika ini,” katanya hari ini.

Beliau berkata, perbuatan itu turut bertentangan dengan semangat undang-undang bagi memelihara keharmonian Raja, Agama dan Kaum (3R).

Sehubungan itu, sekretariat berkenaan menggesa JHEAINS menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan tiada lagi unsur memperlekeh, menghina atau mengelirukan umat Islam berhubung institusi raja dalam mana-mana urusan keagamaan.

Pada masa sama, pihaknya turut mendesak polis membuka kertas siasatan dan mengambil tindakan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang.

“Tindakan hari ini adalah bukti bahawa kami tidak hanya bercakap, tetapi bertindak,” katanya.

Sekretariat itu turut menegaskan pendirian untuk terus memberikan taat setia tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir serta mempertahankan Perlembagaan dan Adat Istiadat Negeri Sembilan. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast