Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

 

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan bekas Pengarah Eksekutif Patimas Computers Berhad, Datuk Ng Back Heang, untuk mendapatkan kebenaran merayu dalam kes sivil melibatkan dagangan orang dalam.

Keputusan itu sekali gus mengekalkan keputusan sebulat suara Mahkamah Rayuan pada 2 September 2025 yang mengesahkan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2022 bahawa Back Heang bertanggungjawab melakukan dagangan orang dalam membabitkan saham Patimas pada 2012.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada Datuk Seri Vazeer Alam Mydin Meera, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan persoalan undang-undang yang dibangkitkan oleh Back Heang telah pun diputuskan dalam kes Datuk Sreesanthan Eliathamby lwn Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 8 April 2025.

Mahkamah mendapati syarat bagi mendapatkan kebenaran merayu di bawah Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 tidak dipenuhi, sekali gus menolak permohonan tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan Ng membayar kos sebanyak RM50,000 kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Pada 2020, SC memfailkan tindakan sivil terhadap Back Heang atas dakwaan melanggar Seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) berhubung kesalahan dagangan orang dalam.

SC mendakwa Back Heang telah melupuskan 16.5 juta saham Patimas antara Mei hingga Julai 2012 ketika memiliki maklumat material yang belum didedahkan kepada umum berkaitan pertanyaan audit mengenai transaksi mencurigakan antara Patimas dengan penghutang utamanya.

Perkara itu dibangkitkan oleh juruaudit luar syarikat dalam satu mesyuarat bersama pihak pengurusan.

Pada 31 Julai 2012, Patimas memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa syarikat itu tidak dapat mengeluarkan Penyata Kewangan Tahunan Diaudit bagi tempoh 1 Januari 2011 hingga 31 Mac 2012 berikutan isu audit penting yang masih belum diselesaikan.

Ketika itu, Back Heang merupakan Pengarah Eksekutif Patimas.

Selepas perbicaraan penuh, Mahkamah Tinggi pada 16 November 2022 memutuskan Back Heang bersalah melakukan dagangan orang dalam dan mengarahkannya membayar RM2.04 juta kepada SC.

Jumlah itu merangkumi RM1.24 juta sebagai pemulangan keuntungan atau kerugian yang berjaya dielakkan hasil dagangan orang dalam, penalti sivil sebanyak RM700,000 serta kos RM100,000.

Mahkamah turut melarang Back Heang daripada dilantik sebagai pengarah mana-mana syarikat tersenarai awam selama lima tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast