Seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal ditungganginya kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan, Muar, semalam.

MUAR – Seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 135, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, ACP Raiz Mukhliz Azman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan pukul 5.40 petang itu melibatkan mangsa yang menunggang motosikal bersama-sama pembonceng yang kedua-duanya berusia 19 tahun.

“Kejadian berlaku semasa motosikal dinaiki sedang bergerak lurus di lorong kiri lebuh raya. Sejurus selepas itu, sebuah lori di hadapan dipercayai mengubah haluan ke lorong kecemasan sebelum motosikal berkenaan melanggar bahagian lampu belakang kanan lori tersebut.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pembonceng pula hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan telah dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Raiz, pemandu lori pula yang berusia 51 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jelasnya, ujian saringan alkohol dan air kencing yang dijalankan ke atas pemandu lori didapati negatif.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast