Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus

KUALA LUMPUR – Usaha membanteras pengaruh gangsterisme dalam kalangan pelajar sekolah akan dipergiat oleh Polis Kuala Lumpur dengan lebih menyeluruh bagi memastikan gejala berkenaan tidak terus menular.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak polis bersama masyarakat dan institusi pendidikan dalam membentuk sahsiah, disiplin serta jati diri murid sejak di bangku sekolah.

“Ini menjadi keutamaan kita, melibatkan isu gangsterisme untuk tidak membenarkan ia mendekati segmen sekolah, terutamanya melibatkan peringkat sekolah rendah bagi melindungi pelajar daripada pengaruh yang boleh merosakkan disiplin mereka.

“Usaha itu juga perlu dilaksanakan melalui pendekatan libat urus (engagement) bersama pihak sekolah serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memperluas program kesedaran disiplin di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus ketika memberikan cenderahati kepada guru besar pada Majlis “PDRM & Murid Berpisah Tiada” Membina Sahsiah, Menyemai Disiplin di SK La Salle 2, Jinjang, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 2 Julai 2026.

Terdahulu, beliau merasmikan peluncuran program ‘PDRM dan Murid Berpisah Tiada: Membina Sahsiah, Menyemai Disiplin 2026 di Sekolah Kebangsaan La Salle 2 Jinjang, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Megat Affandi Ismail dan Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni.

Tambah Fadil, sebelum ini pelaksanaan program hanya tertumpu kepada pelajar sekolah menengah dengan penekanan terhadap pematuhan undang-undang termasuk aspek keselamatan jalan raya.

“Namun pendekatan tersebut kini diperluaskan ke sekolah rendah bagi memastikan pembentukan disiplin dapat dimulakan sejak awal.

“Program ini bertujuan mewujudkan persefahaman bersama antara pihak pentadbir sekolah dan polis dalam memperkukuh nilai sahsiah dan jati diri murid agar tidak mudah terpengaruh dengan unsur negatif.

“Ia juga akan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan semua sekolah menengah dan sekolah rendah di ibu negara dengan komunikasi dua hala yang berterusan antara pihak polis dan institusi pendidikan,” ujarnya.

Mengenai trend kesalahan disiplin dalam kalangan murid sekolah rendah, Fadil berkata masih terdapat rekod kesalahan yang dikesan, namun ia berada pada tahap yang memerlukan perhatian serius dan tindakan pencegahan awal.

“Kesalahan disiplin di peringkat sekolah rendah memang ada direkodkan. Justeru, keutamaan kita adalah untuk menangani isu ini dari peringkat awal,” ujarnya.

Sementara itu, Megat Affandi berkata, pihaknya memandang serius setiap isu berkaitan kehadiran, disiplin dan sahsiah murid di Wilayah Persekutuan.

Katanya, ini bagi memastikan tiada pelajar tercicir daripada sistem pendidikan atau terjebak dalam gejala yang boleh menjejaskan masa depan mereka.

“Alhamdulilah dengan kerjasama Polis Kuala Lumpur, kita mendapati kes buli dan kes ponteng di Wilayah Persekutuan merekodkan penurunan dan pencapaian dalam mengawal isu disiplin murid bukan hanya hasil usaha pihak sekolah.

Sebaliknya, ia turut disokong melalui kerjasama erat bersama penguatkuasa dalam aspek advokasi keselamatan, pencegahan jenayah, pemantauan komuniti serta pembinaan hubungan positif dengan warga sekolah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast