Orang awam menggunakan perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam pada hari pertama operasi ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Stesen Glenmarie 2, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 29 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – “Sekarang kita semakin faham kenapa kos LRT3 tiba-tiba “melompat” daripada RM9 bilion kepada RM31 bilion.

“Rupanya Tony Pua sendiri mengaku bahawa angka itu bukan sekadar kos pembinaan.

“Ia dikira “including all other costs” (termasuk lain-lain kos) — termasuk pengambilan tanah, yuran PDP, yuran perunding, dan paling penting: kos faedah sepanjang tempoh pembinaan,” kata penulis politik Eric See atau Lim Sian See.

Lantaran itu, beliau mempersoalkan bagaimana kaedah pengiraan kos projek Laluan Rel Ringan 3 (LRT3) yang didakwa meningkat daripada RM9 bilion kepada RM31 bilion.

Persoalan itu timbul susulan penjelasan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, berhubung projek berkenaan.

Dalam penjelasan tersebut, Pua berkata, angka RM31 bilion itu bukan sekadar melibatkan kos pembinaan, sebaliknya turut merangkumi kos lain seperti pengambilan tanah, yuran Rakan Kongsi Pelaksana Projek (PDP), yuran perunding serta kos faedah sepanjang tempoh pembinaan.

Bagaimanapun, dakwa Sian See tiada penjelasan terperinci diberikan mengenai kaedah pengiraan kos faedah itu termasuk tempoh pinjaman, kadar faedah dan andaian pembiayaan yang digunakan.

Oleh itu, beliau mendakwa angka RM31 bilion itu telah dijadikan modal politik untuk mengkritik projek asal sebelum spesifikasi LRT3 dikurangkan secara ketara.

Sian See turut merujuk kenyataan Pua yang mengesahkan projek LRT3 telah mencapai kemajuan sebanyak sembilan peratus setakat Mei 2018.

Jelasnya, kenyataan Pua itu mengesahkan  projek berkenaan telah pun bermula dengan proses pengambilan tanah serta kelulusan permit utama selesai diperoleh selepas pelancarannya pada Ogos 2016.

Sehubungan itu, beliau menegaskan naratif bahawa projek tersebut belum bermula atau terbengkalai sebelum PH datang  ‘menyelamatkan memang tidak tepat.

Sebaliknya, hujahnya, projek itu telah berjalan sebelum pentadbiran baharu mengambil alih kerana tanah sudah diperoleh, permit sudah ada, kerja sudah berjalan.

“Kemudian PH masuk, kira kos dengan cara sendiri termasuk kos faedah, umum angka besar, potong spesifikasi, dan jual cerita kononnya mereka selamatkan wang rakyat,” dakwanya.

Dalam hantaran sama, Sian See turut mempersoalkan sama ada kaedah pengiraan serupa digunakan bagi projek LRT Pulau Pinang yang diumumkan kerajaan dengan kos RM16.8 bilion.

Beliau membangkitkan persoalan sama ada kos projek itu turut mengambil kira komponen seperti pengambilan tanah, yuran PDP, yuran perunding dan kos faedah sepanjang tempoh pembinaan, memandangkan kontrak pembinaan sivil fasa pertama bernilai RM8.4 bilion telah dianugerahkan.

Beliau turut mempersoalkan berapakah kos sebenar projek LRT Pulau Pinang sekiranya pendekatan pengiraan yang sama digunakan. – MalaysiaGazette

Guan Eng, Pua pertahan rasionalisasi LRT3, dakwa jimat RM9.72 bilion

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast