JOHOR BHARU – Kenyataan Datuk Nazifuddin Najib yang mendakwa kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Johor sebagai isyarat rakyat mahu Datuk Seri Najib Razak diberikan pengampunan sebagai satu penghinaan terhadap sistem demokrasi dan kebijaksanaan rakyat di negeri itu.
Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivamalar Genapathy menegaskan, pilihan raya bukan referendum untuk menentukan nasib mana-mana individu.
Ia sebaliknya medan rakyat memilih kerajaan berdasarkan keupayaan mentadbir, memperkukuh ekonomi, menangani kos sara hidup serta merancang masa depan negeri.
Menurutnya, cubaan mengaitkan kemenangan pilihan raya dengan pengampunan seseorang memperlekehkan suara jutaan pengundi Johor dan memberikan tafsiran yang salah terhadap proses demokrasi.
“Membawa naratif bahawa kemenangan pilihan raya adalah mandat untuk pengampunan seseorang jelas menghina kebijaksanaan rakyat Johor,” katanya hari ini.
Sivamalar berkata, proses pengampunan mempunyai saluran dan prosedur yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan serta tidak seharusnya dipolitikkan bagi memenuhi kepentingan mana-mana pihak.
Beliau berkata, PKR menghormati kebebasan institusi kehakiman serta kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan kuasa pengampunan mengikut lunas undang-undang tanpa tekanan atau eksploitasi politik.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dakwaan anak Najib, Datuk Nazifuddin juga mengabaikan fakta sejarah apabila Johor mencatatkan kadar keluar mengundi sekitar 89 peratus pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 yang menyaksikan BN tumbang buat pertama kali di negeri itu.
Sebaliknya, katanya, kemenangan besar BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 berlaku ketika negara masih berdepan pandemik Covid-19 dengan kadar keluar mengundi sekitar 54.9 peratus.
“Fakta ini membuktikan apabila rakyat Johor keluar beramai-ramai mengundi, mereka membuat keputusan berdasarkan harapan terhadap masa depan negeri bukannya demi kepentingan mana-mana individu.
“Justeru, cubaan mentafsir keputusan pilihan raya sebagai mandat rakyat untuk pengampunan Najib bukan sahaja tidak berasas malah merupakan manipulasi politik terhadap suara rakyat,” tegasnya.
Beliau berkata, menjelang PRN Johor pada 11 Julai ini, rakyat negeri itu sekali lagi akan membuktikan mereka tidak boleh diperkecilkan atau diperalatkan dengan naratif yang menghina kebijaksanaan mereka.
“Demokrasi bukan milik mana-mana keluarga politik. Demokrasi adalah hak rakyat dan rakyat Johor tahu bagaimana mempertahankannya melalui peti undi,” katanya. -MalaysiaGazette















