Calon Bebas N.14 Bukit Naning, S Jeganathan menyantuni penduduk serta mengedarkan risalah manifesto sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika di Bakri, Muar, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 03 JULAI 2026.

MUAR – “Masa nak raih undi sahaja nampak, lepas itu hilang entah ke mana sampaikan nak mohon tebang sebatang pokok pun kena tunggu hampir setahun.”

Itu antara rungutan seorang peniaga di Bakri, dekat sini yang mendakwa pihak berkuasa mengambil masa terlalu lama untuk menyelesaikan masalah kecil sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan awam.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 40-an berkata, keadaan itu amat mengecewakan apabila aduan mengenai pokok berisiko tumbang sudah beberapa kali dikemukakan kepada pihak berkaitan, namun hampa.

Peniaga, Lim bercakap kepada media sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika di Bakri, Muar, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 03 JULAI 2026.

“Saya dah banyak kali buat laporan kepada Majlis Perbandaran Muar (MPM) tapi sakit hati bila sampai setahun pun masalah sebatang pokok tak dapat diiselesaikan.

“Sekarang ini baru nampak calon wakil rakyat ke sana sini tapi lepas menang hendak cari mereka pun tak tahu di mana. Takkanlah sampai penduduk terpaksa keluarkan duit sendiri untuk selesaikan masalah?,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Seorang lagi peniaga, Ong, 50-an, pula berkata, masalah parkir yang tidak mencukupi serta ketiadaan penguatkuasaan menyebabkan banyak kenderaan diletakkan di lokasi yang tidak sepatutnya sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

Peniaga, Ong bercakap kepada media sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika di Bakri, Muar, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 03 JULAI 2026.

“Keadaan ini menyebabkan kawasan ini kerap berlaku kemalangan di sebuah persimpangan berhampiran premis termasuk tiga kematian baru-baru ini.

“Saya harap, wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini dapat bertindak lebih pantas terhadap setiap aduan rakyat,” katanya.

Irene Lim, 40-an, berkata, mendakwa, garisan jalan yang semakin pudar antara faktor yang menyebabkan kemalangan kerap berlaku di kawasan berkenaan.

Calon Bebas N.14 Bukit Naning, S Jeganathan menyantuni penduduk serta mengedarkan risalah manifesto sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika di Bakri, Muar, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 03 JULAI 2026.

Sementara itu, pekerja kaunter kedai runcit, Salawati Jamaluddin, 57, berharap lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan khusus kepada suri rumah dan ibu tunggal yang memerlukan pendapatan tambahan.

Menurut ibu tunggal empat anak itu, dia kerap didatangi wanita yang bertanyakan peluang pekerjaan yang boleh dilakukan dari rumah kerana perlu menjaga anak kecil.

Peniaga, Salawati Jamaluddin, 57 bercakap kepada media sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika di Bakri, Muar, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 03 JULAI 2026.

“Ramai datang tanya ada kerja kosong tak, sampaikan saya pula yang tolong bertanya kepada orang lain kalau ada majikan yang mencari pekerja.

“Kebanyakannya suri rumah atau ibu muda tak boleh bekerja di luar jadi saya harap pemimpin baharu faham keadaan mereka dan wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dari rumah,” katanya.

Tukang rumah, Muhammad Azman Sulaiman, 40, mahu pemimpin yang dipilih memberi perhatian terhadap isu kebanjiran warga asing yang didakwanya menjejaskan peluang pekerjaan anak tempatan.

Peniaga, Muhammad Azman Sulaiman, 40 bercakap kepada media sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika di Bakri, Muar, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 03 JULAI 2026.

Menurutnya, sektor pembinaan, perniagaan dan beberapa industri lain kini didakwa banyak dikuasai warga asing sehingga menyukarkan generasi muda mendapatkan pekerjaan.

“Saya pernah suarakan perkara ini kepada beberapa pemimpin sebelum ini tetapi tiada respons yang memuaskan dan kali ini saya harap siapa pun yang menang nanti buatlah sesuatu demi kebaikan anak-anak Bakri,” katanya.

Calon Bebas N.14 Bukit Naning, S Jeganathan bercakap kepada media selepas menyantuni penduduk serta mengedarkan risalah manifesto sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika di Bakri, Muar, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 03 JULAI 2026.

Sementara itu, calon Bebas DUN Bukit Naning, S. Jeghanaathan, 57, yang mendengar rintihan penduduk berkata, sebahagian besar aduan yang diterimanya daripada penduduk berkisar isu jalan berlubang, kos sara hidup dan kebersihan.

Pengerusi Persatuan Kebajikan dan Sosial Kaum India Bakri Muar itu mendakwa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menerima kira-kira 10 aduan setiap hari daripada penduduk yang datang ke pejabatnya.

“Saya mengetuai NGO ini sejak 2008 dan selama itu jugalah saya aktif membantu masyarakat menggunakan wang ringgit sendiri untuk selesaikan masalah,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast