File picture

KUALA LUMPUR – Permohonan pendaftaran Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi sektor baharu iaitu Pengangkutan Darat (Persendirian Syarikat – Jip dan Pikap) dibuka bermula hari ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, kelayakan subsidi akan berkuatkuasa mulai 15 Julai 2026 tertakluk kepada kelulusan dan pemilikan fleet card.

Tambahnya, pemohon perlu menepati syarat kelayakan yang ditetapkan seperti kenderaan didaftarkan sebagai kenderaan perniagaan dengan Kelas/Kod Kegunaan Persendirian Syarikat (AE) dalam Sistem MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pemohon juga mestilah memiliki perniagaan berdaftar  di  bawah  pemilikan tunggal atau perkongsian melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)/Pendaftaran Pihak Berkuasa Tempatan (Sabah dan Sarawak).

“Subsidi ini disasarkan untuk memanfaatkan para peniaga mikro dan kecil yang berdaftar sebagai perniagaan milikan tunggal dan perkongsian.

“Sehubungan itu, pemilik perniagaan yang berkelayakan adalah digesa membuat permohonan pada kadar segera melalui portal MySubsidi di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my,” kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan perluasan kelayakan SKDS kepada sektor baharu iaitu Sektor Pengangkutan Darat (Persendiran Syarikat – Jip dan Pikap).

Sektor tersebut adalah tambahan kepada dua sektor sedia ada iaitu Sektor Pengangkutan Darat (Awam) dan Sektor Pengangkutan Darat (Barangan Keperluan Pengguna).

Dengan penambahan ini, keseluruhan jenis kenderaan dan kelas kegunaan yang terlibat di bawah SKDS adalah berjumlah 35 jenis. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast