JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) menggariskan 10 tawaran utama dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang memberi tumpuan kepada kos sara hidup, pemilikan rumah, peluang pekerjaan, pendidikan, kesihatan serta pembangunan ekonomi negeri.
Manifesto bertemakan ‘Johor Untuk Semua’ itu dilancarkan pada hari keenam kempen PRN Johor dengan menawarkan pelbagai inisiatif yang disifatkan mampu meningkatkan taraf hidup rakyat, di samping memperkukuh kedudukan Johor sebagai antara negeri pemacu ekonomi negara.
Antara tawaran utama yang diumumkan ialah pelaksanaan Skim Kesihatan Johor dengan perlindungan sehingga RM100,000 setahun kepada penerima yang layak.
PH turut menjanjikan bantuan RM8,000 bagi Rumah Pertama Anak Johor, selain membina 80,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun bagi membantu lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri.
Bagi golongan muda, gabungan itu menawarkan Dana Anak Muda Johor berjumlah RM500 juta, selain menyasarkan penyediaan Internet Gigabit dan kemudahan kecerdasan buatan (AI) di semua sekolah menjelang 2030.
Dalam aspek ekonomi, PH berikrar menyediakan Dana RM1 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan Johor bagi memperluaskan perniagaan dan meningkatkan daya saing.
Manifesto itu turut memberi penekanan kepada usaha memperkasa Johor sebagai pengeluar utama agromakanan negara, selain memacu pembangunan industri bernilai tinggi bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti.

Bagi mengurangkan kesesakan di pintu masuk negara, PH menyasarkan pengurangan masa menunggu di sempadan Johor-Singapura sehingga 50 peratus menerusi Agenda Johor-Singapura.
Selain itu, gabungan berkenaan turut menyasarkan pewujudan 250,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi dan bermaruah sebagai usaha meningkatkan pendapatan rakyat serta mengekalkan bakat tempatan di Johor.
Manifesto berkenaan menjadi tawaran rasmi PH kepada pengundi menjelang hari pengundian PRN Johor pada 11 Julai ini. -MalaysiaGazette
















