Suasana persekitaran pekan Bukit Gambir yang agak ketinggalan dari segi pembangunan fizikal.

BUKIT GAMBIR – Usang, terpinggir dan agak ketinggalan.

Itu yang boleh digambarkan dengan situasi di pekan Bukit Gambir di sini, yang terletak di daerah Tangkak.

Tidak banyak aktiviti yang mampu dilakukan penduduk sekitar melainkan menjalani kehidupan yang sederhana, dengan aspek pembangunan fizikal juga dilihat tidak begitu rancak.

Situasi itu sedikit malang buat lebih 40,000 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir itu memandangkan lokasinya boleh dianggap strategik dan bukannya berada di pedalaman atau luar bandar.

Tidak banyak aktiviti perniagaan yang berlangsung di pusat komersial pekan Bukit Gambir.

Bukit Gambir hanya terletak bersebelahan dengan Tangkak yang kemajuannya lebih pesat dan hanya kira-kira satu jam dari Melaka yang pastinya jauh ke depan dari pelbagai aspek.

Pekan itu juga dihubungkan dengan Lebuhraya Utara-Selatan yang seharusnya turut membawa limpahan ekonomi kerana faktor mudah diakses, namun malangnya seolah-olah tidak mendapat manfaat daripada kemudahan jaringan perhuhubungan tersebut.

Faktor itu turut diakui seorang penduduk tempatan, Aziz Badarudin, 50-an, yang menyifatkan pembangunan di pekan Bukit Gambir seolah-olah tidak berubah dan statik sejak sekian lama.

Menurutnya, sejak beberapa generasi, tidak ada pembangunan fizikal yang boleh disifatkan sebagai pencetus kepada perubahan yang diharap-harapkan oleh penduduk di kawasan berkenaan.

“Memang tidak ada banyak perubahan khususnya dari segi pembangunan yang berlaku di pekan Bukit Gambir ini sejak bertahun-tahun lamanya.

“Sebagai anak jati di sini, memang saya mengharapkan untuk melihat kemajuan yang pesat di sini supaya kami juga dapat menikmati kehidupan lebih selesa dan meningkatkan kualiti serta taraf hidup,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Antara kawasan di pekan Bukit Gambir.

Perkara sama turut diakui oleh seorang kakitangan swasta, Mazlan Haniman, 30-an, yang menyifatkan Bukit Gambir seolah-olah pekan mati terutama apabila menjelang malam.

“Kalau ada cuti hujung minggu atau cuti umum pun kami di sini terpaksa keluar jauh sedikit sama ada ke Melaka; Muar atau terus ke Johor Bahru untuk berhibur,” katanya.

Sementara itu, bagi seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Wong, 50-an, dia berharap aspek pembangunan dapat dirancakkan di Bukit Gambir supaya lebih banyak aktiviti ekonomi dapat berlangsung.

Katanya, ramai penduduk tempatan memilih untuk berbelanja di luar pekan Bukit Gambir kerana berasakan produk atau perkhidmatan yang dicari mereka agak terhad di kawasan itu, sekali gus memberi kesan kepada peniaga-peniaga setempat.

“Apabila aktiviti perniagaan dan ekonomi di sini rancak, penduduk setempat juga tidak perlu membuang masa pergi jauh.

“Para peniaga juga dapat terus beroperasi dan menawarkan banyak lagi produk dan perkhidmatan kepada penduduk setempat kerana ada sambutan,” katanya. – MalaysiaGazette

Antara kawasan di pekan Bukit Gambir.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast