BANGKOK – Mahkamah Jenayah di sini menjatuhkan hukuman penjara sehingga 15 tahun terhadap empat pakar Obstetrik dan Ginekologi serta empat ejen kerana terlibat sindiket haram ibu tumpang komersial atau aktiviti mengandungkan dan melahirkan anak orang lain secara komersial (commercial surrogacy) rentas sempadan.
Mahkamah turut memutuskan kesemua tertuduh atas jenayah memperdagangkan tubuh manusia sebagai komoditi dan sengaja mengelak undang-undang.
Keputusan yang dibacakan semalam merupakan kes kedua melibatkan sindiket ibu tumpang komersial rentas sempadan.
Pendakwa raya mendakwa 10 individu, termasuk Leftenan Kolonel Dr Chanin Asawataret, atas pertuduhan menyertai organisasi jenayah rentas negara, mengatur perkhidmatan ibu tumpang komersial, serta mengimport atau mengeksport embrio, sperma dan ovum manusia secara haram.
Kes itu berpunca daripada siasatan pada 2020 oleh Bahagian Antipemerdagangan Manusia yang berjaya membongkar rangkaian ibu tumpang yang didakwa dibiayai oleh warga China, Ran Zhao.
Sindiket tersebut merekrut wanita Thailand untuk menjadi ibu tumpang atau menjual ovum mereka bagi tujuan persenyawaan in vitro (IVF).
Penyiasat berkata wanita terbabit dibayar antara 400,000 hingga 450,000 baht setiap seorang sebelum dibawa ke Laos dan Kemboja untuk menjalani prosedur pemindahan embrio bagi mengelakkan larangan Thailand terhadap perkhidmatan ibu tumpang komersial.
Mereka kemudian kembali ke Thailand untuk mendapatkan rawatan pranatal sebelum berlepas ke China sejurus sebelum bersalin.
Menurut penyiasat, Dr Chanin memainkan peranan penting dengan menyediakan sampel sperma dan menjalankan prosedur pemindahan embrio.
Polis turut menahan seorang ejen wanita warga Thailand yang menguruskan urusan kewangan, dengan siasatan mengesan lebih 70 transaksi pemindahan wang antarabangsa yang dikaitkan dengan rangkaian tersebut.
Dalam penghakimannya, mahkamah menyatakan bahawa keempat-empat pakar obstetrik dan ginekologi itu mengetahui bahawa perkhidmatan ibu tumpang komersial dan penjualan ovum manusia melanggar undang-undang serta etika perubatan, namun mereka sengaja menjalankan prosedur tersebut di luar negara bagi mengelakkan tindakan di bawah undang-undang Thailand.
Mahkamah turut mendapati empat ejen berkenaan memainkan peranan penting dalam operasi itu, sekali gus menjejaskan hak dan kebajikan kanak-kanak yang dilahirkan melalui skim tersebut dengan memisahkan mereka daripada keluarga kandung serta mendedahkan mereka kepada kemungkinan mengalami kesan psikologi jangka panjang.
Mahkamah mensabitkan doktor dan ejen terbabit atas pelbagai pertuduhan. Walaupun hukuman mereka dikurangkan sebanyak satu perempat kerana memberi kerjasama, mahkamah tetap menjatuhkan hukuman penjara yang panjang berikutan keseriusan kesalahan yang dilakukan.
Dr Chanin, yang dikenal pasti mahkamah sebagai dalang dalam kalangan profesional perubatan, dijatuhi hukuman penjara 15 tahun. Tiga lagi doktor masing-masing dihukum penjara selama 13 tahun, 13 tahun enam bulan, serta 10 tahun enam bulan.
Empat ejen itu pula masing-masing dijatuhi hukuman penjara selama 13 tahun enam bulan, 10 tahun enam bulan, tujuh tahun enam bulan, dan empat tahun enam bulan. Mahkamah membebaskan dua lagi tertuduh.
Kes ini berasingan daripada pendakwaan terhadap Ran Zhao dan tiga lagi rakannya yang mengaku bersalah mengendalikan sindiket ibu tumpang berkenaan. Mereka masing-masing dijatuhi hukuman penjara 150 tahun, yang kemudiannya dikurangkan kepada 75 tahun selepas pengakuan bersalah mereka. -AGENSI
















