Jalex Lee En Xiang menyantuni anak-anak muda di DUN Pemanis di Segamat Futsal Court Centre, di sini

SEGAMAT – Sukan bukan sekadar medan persaingan untuk mencari kemenangan sebaliknya menjadi platform terbaik dalam menyatukan generasi muda tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN N03 Pemanis, Jalex Lee En Xiang mahu melihat lebih banyak inisiatif diperkenalkan bagi memperkasakan budaya bersukan dalam kalangan belia agar mereka lebih aktif, sihat dan menjauhi gejala sosial.

Menurutnya, aktiviti sukan mempunyai keupayaan ‘luar biasa’  untuk merapatkan hubungan antara anak muda, selain memupuk semangat kerjasama, disiplin dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

Permainan e-sukan juga semakin mendapat te,mpat di kalangan orang muda di Pemanis

“Di atas padang, gelanggang atau trek, tiada lagi perbezaan kaum dan fahaman. Apa yang ada hanyalah semangat berpasukan dan keinginan untuk mencapai kejayaan bersama.

“Generasi muda perlu diberikan lebih banyak peluang dan kemudahan untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan sama ada di peringkat komuniti, sekolah mahupun di insititusi pengajian,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Memasuki hari keenam berkempen, anak jati Johor ini terus membawa elemen sukan yang semakin digemari oleh generasi muda seperti fulsal, pentaque serta e-sports selain mengunjungi pusat rekreasi.

Sukan pentaque juga digemari oleh golongan pelbagai masyarakat di Segamat

“Sukan adalah bahasa perpaduan yang difahami semua. Jika kita mahu melihat generasi muda yang lebih sihat, aktif dan bersatu, maka pelaburan dalam pembangunan sukan perlu diperkasakan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian sejurus Program Borak Santai Bersama Peminat Ping Pong Pemanis di SGT Empire Table Tennis, di sini malam ini.

Tambah Jalex, pelbagai fasiliti sukan perlu ditambah baik agar aktiviti sukan dapat dilakukan mengikut kesesuaian masa masing-masing kerana ada yang menggemari sukan pada waktu malam atau hujung minggu seperti badminton, ping pong, berbasikal dan lain-lain.

Justeru, katanya, sekiranya diberi mandat dan dipilih oleh rakyat Pemanis, Jalex bertekad untuk memperluaskan pembangunan infrastruktur sukan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia dan latar belakang.

Menurutnya, usaha itu termasuk memperkasakan fasiliti sukan seperti gelanggang futsal, petanque dan ruang e-sukan sebagai medium perpaduan di DUN Pemanis.

Pada PRN kali ini DUN Pemanis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara dan calon Pakatan Harapan (PH) Jalex Lee En Xiang, calon Barisan Nasional (BN), Anuar Abd. Manap dan calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Ariventharan Anandan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast